Showing posts with label Hukum Agama. Show all posts
Showing posts with label Hukum Agama. Show all posts

08 July 2013

Larangan Bersikap Kasihan Dalam Masalah Hudud(Hukuman)


Dari Aisyah r.a isteri Rasulullah, bahawa orang-orang Quraisy merasa kebingungan dengan masalah seorang perempuan Makhzumiah yang mencuri pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, ketika penaklukan kota Makkah. Kemudian mereka bertanya, "Siapa yang berani membicarakan masalah ini kepada Rasulullah s.a.w?" Dengan serentak mereka mengusulkan,"Tidak ada yang berani melakukan hal ini kecuali Usamah, yang dicintai Rasulullah s.a.w."

Akhirnya perempuan itu dibawa menghadap Rasulullah. Kemudian Usamah bin Zaid membicarakan masalah perempuan tersebut kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Usamah itu, tiba-tiba wajah baginda berubah menjadi merah. Lalu baginda bertanya,"Apakah kamu ingin bersikap kasihan dalam hukum Allah?"

Mengetahui hal itu Usamah pun berkata kepada baginda,"Maafkanlah aku ya Rasulullah!"

Petang harinya Rasulullah s.a.w berdiri dan berpidato di hadapan kaum muslimin. Setelah memanjatkan puji kepada Allah, baginda pun mulai berkata,"Amma ba'du, sesungguhnya yang membuat binasa orang-orang sebelum kalian adalah manakala ada orang yang mulia dan terhormat di antara mereka mencuri, maka mereka pun membiarkannya. Sebaliknya, manakala ada orang yang lemah dan hina di antara mereka mencuri, maka dengan segera mereka melaksanakan hukuman atasnya.

Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, kalau seandainya Fatimah puteri Muhammad mencuri, nescara aku akan memotong tangannya."

Akhirnya Rasulullah pun memerintahkan para sahabat untuk memotong tangan perempuan yang mencuri itu.

Aisyah r.a menjelaskan,"Setelah peristiwa itu perempuan tersebut bertaubat dengan sebaik-baiknya dan menikah. Hingga pada suatu ketika, dia datang kepada aku untuk minta tolong mengajukan hajat permintaannya kepada Rasulullah. Lalu aku pun memenuhi permintaanya tersebut

Muslim 5/114-115

25 June 2013

Amalan Bidaah Dalam Masyarakat Melayu


Masyarakat Melayu

Asal-usul orang-orang Melayu amat kabur kerana sejarah kuno Asia Tenggara masih belum diselidiki dengan mendalam . Beberapa teori telah mengatakan bahawa orang Melayu adalah daripada golongan manusia yang diberi nama Austronesia . Ia datang dari daerah Yunan dan telah turun menduduki wilayah Asia Tenggara . Ini berlaku sejak tahun 2 500 sebelum Masehi dengan golongan pertama dikenali sebagai Melayu Proto dan kemudian diikuti oleh Melayu Deutro . 

Masyarakat Melayu Nusantara mula menerima Islam pada abad ke-13 Masehi dengan dimulai oleh Pasai . Para pedagang Arab atau India telah membawa Islam kepada mereka . Ini berikutan kepada catatan pelayaran Marco Polo , yang menulis bahawa ketika beliau singgah di Pasai pada tahun 1292 , penduduk Pasai telah memeluk Islam. 

Proses Islamisasi mulai pesat pada abad ke -15 kerana Melaka telah memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di Nusantara . Puncak kepesatan penyebaran Islam ialah pada abad ke - 16 dan 17. Walaupun Melaka jatuh ke tangan Portugis pada waktu itu tetapi Aceh dapat mengambil alih peranan Melaka dengan keadaan lebih gigih lagi . 

Oleh kerana Islam berkembang dengan pesat di nusantara dan ramai pula yang ingin mendalami agama tanpa mengenali dengan lebih dekat siapakah guru mereka , ditambah pula mereka terlalu ghairah untuk mengejar pahala dan mengejar banyak fadhilat , maka masyarakat Melayu terjebak ke kancah bidaah . Ini jelas dapat dilihat daripada beberapa amalan yang diamalkan oleh Masyarakat Melayu yang kononnya ajaran Islam tetapi setelah diselidiki , ia adalah satu bidaah .


Makna Bidaah

Bidaah adalah daripada perkataan Arab dari perkataan dasar yang bererti mencipta sesuatu tanpa contoh sebelumnya . Ini adalah berdasarkan firman Allah :

بديع السموات والارض 

Ertinya :
“ Yang menjadikan langit dan bumi tanpa ada contoh sebelumya .” 
Dan firman Allah :

قل ماكنت بدعا من الرسل

Ertinya :
“Katakanlah aku bukanlah orang yang pertama membawa risalah daripada Allah , bahkan banyak rasul-rasul sebelumku .” 

Bidaah menurut istilah ialah :

الحدث في الدين بعد الاكمال

Ertinya :
“Perkara-perkara baru dalam agama sesudah ianya disempurnakan.” 

Menurut Al-Syatibi pula , pengertian Bidah adalah :
“ Dan Bidaah itu ialah satu jalan ( cara ) dalam agama yang diada-adakan yang menyerupai hukum syariat yang dimaksudkan dengan mengerjakannya ialah seperti apa yang dimaksudkan dengan jalan ( cara ) mengerjakan hukum syariat .” 

Beliau menambah lagi dengan katanya :
“ Maka jika demikian , maka bidaah itu ialah ibarat satu jalan ( cara ) dalam agama yang diada-adakan yang menyerupai hukum syarak yang dimaksudkan dengan mengerjakan ialah mengabdikan diri ( kepada Allah ) secara berlebih-lebihan .” 

Sebahagian ulama hadis pula mendefinisikan bidaah seperti berikut :
“ Ialah urusan yang baharu diada-adakan dalam agama baik berupa akidah , ibadat atau sifat bagi ibadat yang belum pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW .”

Sebagai kesimpulan , bidaah didefinisikan sebagai perkara-perkara baru dalam agama yang diada-adakan berlawanan dengan dalil-dalil atau kaedah-kaedaah yang telah ditetapkan oleh syarak . 

Pembahagian Bidaah

Menurut Imam Muhammad bin Idris Assyafi’i yang diriwayatkan oleh Abu Nu’aim :
“Bidaah itu terbahagi kepada dua iaitu bidaah terpuji ( mahmudah ) dan bidaah tercela ( mazmumah) . Maka mana-mana yang sesuai dengan sunnah , maka itulah yang terpuji dan mana-mana yang menyalahinya maka itulah yang tercela .” 

Berdasarkan kenyataan ini , ada ulama yang membahagikan bidaah kepada 4 bahagian iaitu : 

Bidaah sunnah 
Bidaah Sunnah ialah bidaah yang termasuk dalam kaedah sunnah seperti solat Tarawih secara berjamaah .

Bidaah harus
Bidaah harus ialah tiap-tiap perkara yang harus seperti makan bermeja dan memakai pakaian yang berbagai-bagai bentuk fesyen yang tidak bertentangan dengan hukum syara’ .

Bidaah haram
Bidaah haram ialah bidaah yang termasuk dalam kaedah bidaah haram dengan dalil dari syara’ seperti menziarahi kubur-kubur dengan tujuan meminta sesuatu pertolongan .

Bidaah makruh
Bidaah makruh ialah bidaah termasuk kaedah makruh seperti menentukan hari tertentu untuk menunaikan sesuatu ibadat dengan kepercayaan bahawa hari itu lebih baik pada hari-hari lain . 

Jenis-jenis Bidaah

Bidaah Fi’liah dan Bidaah Tarkiah 
Bidaah Fi’liah ialah mengerjakan sesuatu amalan atau perbuatan yang tidak dikerjakan oleh Rasullullah . Ini termasuklah membuat hadis palsu , mengurangkan atau menambahkan rakaat atau kaifiat solat , mengadakan solat-solat atau puasa khusus pada masa dan hari-hari yang khusus pada masa dan hari-hari yang khusus , bersembahyang atau berpuasa pada waktu-waktu dan hari-hari yang terlarang . 

Bidaah Tarkiah pula ialah meninggalkan perkara-perkara yang dituntut oleh agama atau agama menggalakkannya kerana memandangkan ia lebih baik tidak dikerjakan .
Bidaah yag termasuk dalam kategori Tarkiah ini ialah :

Tidak mahu berkahwin kerana hendak beribadat kepada Allah tanpa sesuatu sebab yang dibolehkan oleh syara , atau beribadat terus menerus .

Mengharamkan atas diri sesuatu yang dihalalkan oleh Allah tanpa sebab yang dibolehkan oleh syarak dan juga sebaliknya .

Meninggalkan hukum-hukum atau ketentuan Allah dan Rasul kerana mengutamakan akal fikiran .

Menolak dan meninggalkan hadis-hadis sebagai dalil syar’i ataupun mendahulukan akal dari hadis .


Bidaah yang dikelaskan dalam kategori Bidaah Fe’liah pula ialah :

Menyeksa diri dalam melakukan ibadat kepada Allah.

Menceraikan isteri dalam masa haidh atau semasa isteri suci yang sudah dicampurinya atau menceraikan isteri dengan talak tiga sekaligus .

Merombak atau mengubah hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul .

Mengadakan azan dan qamat pada solat dua hari raya . Azan dan iqamat disyariatkan bagi solat-solat fardhu dan Rasullullah dan para sahabat tidak pernah berazan dan iqamat pada solat hari raya Puasa dan Haji dan tidak ada hadis menyuruhnya .

Bidaah I’tiqadiah , Amaliah dan Qauliah
Beri’tiqad berlainan dengan apa yang telah diajarkan oleh Rasullullah dinamakan bidaah I’tiqadiah seperti : kepercayaan Wihdatul , Syiah , Khawarij , Mu’tazilah . Qadariah dan Murjiah yang beri’tiqad bahawa malaikat Harut dan Marut telah berbuat jahat dengan Zuhrah lalu dikenakan hukuman gantung dengan kaki di atas dan kepala di bawah di Babilon sampai hari kiamat , manakala Zuhrah disumpah menjadi bintang Zuhrah . Ini juga termasuklah juga beri’tiqad bahawa para wali lebih tinggi martabatnya daripada nabi dan Rasul . Bidaah Qauliah pula ialah mengubah sesuatu yang keluar daripada mulut rasul . 

Bidaah Zamaniah dan Makaniah
Bidaaah Zamaniah ialah bidaah yang bersangkutan dengan masa-masa tertentu seperti melakukan solat atau puasa pada kepercayaan Wihdatul-Wujud di kalangan orang-orang sufi pada masa-masa dan hari-hari tertentu seperti solat khas pada malam lailatul Qadar , solat khas pada malam dua hari raya , solat khas pada malam Jumaat pertama bulan Rajab , solat khas pada malam nisfu Syaaban , berpuasa khas pada satu haribulan Muharram , puasa khas pada hari nisfu Syaaban , puasa khas pada hari Khamis minggu pertama bulan Rajab dan pada hari yang kedua puluh tujuhnya .

Bidaan Makaniah ialah Bidaah yang dilakukan pada tempat-pempat yang tertentu seperti tempat-tempat kematian , di perkuburan para wali syuhadak dan sebagainya .

Bidaah Kulliah dan Juziah
Kulliy bermaksud keseluruhan dan Juziah bererti sebahagian-sebahagian . Bidaah kulliah ialah satu bidaah pada keseluruhannya atau memberi kesan kepada orang lain , bukan hanya kepada orang yang melakukannya sahaja seerti menggunakan akal untuk menetapkan sesuatu baik atau buruknya sebagai ganti syarak dan seperti menolak hadis-hadis Ahad ( bukan Mutawatir ) menjadi hujah atau mengingkari beramal dengan hadis-hadis Ahad .

Bidaah Juziah hanya melibatkan pembuat atau pelakunya sahaja tanpa melibatkan orang ramai seperti seorang yang menyalahi Sunnah Rasul tetapi kesannya tidak mempengaruhi atau melibatkan orang ramai kerana dia bukan menjadi ikutan orang ramai .

Bidaah Haqiqiah dan bidaah Idhafiah 
Bidaah Haqiqiah ialah bidaah yang langsung tiada dalil baik dari al-Quran ataupun sunnah , ijmak , athar sahabat atau lainnya dari kaedah syarak yang muktabar . Contohnya ialah sembahyang Raghaib yang dikerjakan pada malam jumaat minggu pertama bulan Rajab sesudah berpuasa siang harinya dan solat - solat serupa itu yang tidak didasarkan kepada dalil syar’i tetapi didasarkan kepada hadis-hadis maudhu’.

Bidaah Idhafiah pula ialah satu pekerjaan atau perbuatan yang terdapat padanya dua jurusan , iaitu jika dilihat dari satu sudut kelihatan ia bukan satu bidaah tetapi bila dilihat dari sudut lain ia adalah satu perbuatan bidaah idhafaiah seperti membaca al-quran dengan kuat di dalam masjid sehingga menganggu ahli jamaah yang sedang beribadat dan membaca al-Quran dengan suara yang nyaring dari menara-menara masjid lalu mengganggu orang yang sedang tidur.

Bidaah Ibadiah dan Bidaah Adiah
Bidaah Ibadiah ialah bidaah yang dilakukan dengan maksud mendekatkan diri dengan Allah SWT , untuk mendapatkan pahala yang banyak daripada Allah . Manakala Bidaah Adiah ialah bidaah yang dikerjakan bukan kerana hendak mendekatkan diri dengan Allah tetapi mengenai urusan muamalah antara manusia yang bertentangan dengan batas-batas yang ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya .
Contoh Bidaah Ibadiah ialah solat khas Nisfu Syaaban , solat raghaib dan lain-lain.
Bidaah yang berlaku dalam Masyarakat Melayu

Bidaah Dalam Bulan Rabiul Awal 
Masyarakat Melayu di Malaysia amat bersungguh-sungguh mengadakan majlis Maulid al-Rasul . Perbuatan ini adalah tidak boleh kerana hal itu adalah bidaah dalam agama . Selain itu , Rasullullah tidak pernah mengerjakannya , begitu pula Khulafa al-Rashidin , para sahabat lain dan para Tabiin yang hidup pada kurun paling baik . Mereka juga tidak menganjurkan mengadakan majlis seperti ini walaupun mereka adalah dari kalangan orang-orang yang lebih memahami terhadap sunnah , lebih banyak menyintai rasul daripada generasi selepasnya dan benar-benar menjalankan syariatnya . 

Bidaah Dalam Bulan Safar
Masyarakat Melayu juga percaya bahawa bulan Safar mendatangkan kecelakaan terutamanya pada hari Rabu akhir bulan . Dipercayai bahawa diturunkan bala pada tiap-tiap tahun sebanyak 12 000 bala dan sekaliannya itu pada hari Rabu akhir bulan Safar. Untuk menolak bala ini , disunatkan banyak bersedekah dan membaca doa tolak bala dengan kaifiat-kaifiat tertentu . 

Perkara ini adalah bidaah kerana ia bertentangan dengan hadis nabi S.A.W , yang bermaksud :
“ Tiada kejangkitan , tiada kesialan kerana burung hantu dan tiada kesialan kerana bulan Safar . Allah menjadikan tiap-tiap jiwa dan ia telah menentukan hidupnya , musibat-musibatnya dan rezekinya .” 

Bidaah Dalam Bulan Rajab
Lazimnya masyarakat Melayu menyambut Bulan Rajab dengan mengadakan perayaan Israk dan Mikraj , mengadakan solat khas pada malam Jumaat minggu pertama bulan Rajab yang dinamakan solat al-Raghaib , puasa khas pada hari Khamis minggu pertama bulan Rajab , solat khas pada malam 27 Rajab dan puasa khas pada siang hari 27 Rajab . 
Amalan-amalan itu tidak ada dasarnya dalam agama sama ada dari al-Quran atau hadis yang sabit dari Rasulullah dan tidak pula diamalkan oleh para sahabat dan ulama salaf , maka oleh kerana itu ia termasuk dalam perbuatan bidaah . 
Hadis tentang solat khas pada malam Jumaat minggu pertama bulan Rajab dan puasa khas pada hari Khamis adalah hadis maudhu’ ciptaan tukang-tukang bidaah atau orang-orang kafir zindiq . 

Hadis tentang solat khas dan puasa khas ada 27 Rajab juga adalah mungkar yang tidak boleh dijadikan sebagai targhib dan tarhib ataupun menyatakan fadhilat amal .

Bidaah dalam Bulan Ramadhan
Dalam bulan Ramadhan pula , masyarakat Melayu gemar mempercepatkan solat tarawih . Mereka mengerjakan solat tarawih hanya mengambil masa setengah jam dari solat Isyak sehingga witir . Oleh kerana terlalu laju , banyaklah kecacatan yang berlaku . Ini termasuklah surah al-Fatihah yang dibaca senafas , tidak menjaga tuma’ninah dalam rukuk , sujud , duduk antara dua sujud dan iktidal .

Dalam hal ini imam al-Ghazali berkata : “ Kamu manghadiahkan solat kamu kepada Allah , maka janganlah kamu menghadiahkan solat kamu dengan sifat-sifat yang tersebut ( buruk ) , pasti anda akan menerima siksaannya .” 

Bidaah Azan Dan Iqamat Untuk Jenazah
Masyarakat Melayu juga mengamalkan banyak perkara bidaah dalam hal pengurusan jenazah . Mereka gemar membaca azan dan qamat sewaktu mayat diturunkan dari rumah atau ke dalam kubur . Sebenarnya tidak ada hadis yang mensyariatkan azan dan qamat untuk jenazah .

Amalan ini adalah semata-mata bidaah kerana ia tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah , sahabat-sahabat dan al-salaf al-shalih . Apa yang nabi ajar ialah azan pada solat fardhu dan sewaktu menyambut kelahiran bayi . 
Bidaah Solat Teman
Selain itu , mereka juga percaya bahawa mayat perlukan bantuan untuk menghadapi alam baru . Untuk tujuan itu , mereka juga melakukan sejenis solat yang dinamakan Solat Teman . Solat ini bertujuan untuk membantu mayat menghadapi soalan Mungkar dan Nakir . Solat ini adalah mungkar dan bidaah . Ini adalah kerana Rasulullah hanya melakukan solat jenazah dan solat ghaib . Rasululullah juga hanya mensyariatkan supaya berdoa dan meminta ampun untuk si mati .

Ini adalah bersesuaian dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud , al-Hakim dan al-Bazzar , yang bermaksud :

Uthman bin ‘Affan r.a meriwayatkan : “ Adalah nabi SAW apabila selesai mengkebumikan jenazah , baginda berdiri di sisi perkuburan dan bersabda : Mohonkanlah keampunan untuk saudara kamu dan mintalah ketetapan untuknya kerana dia sekarang akan disoal .” 

Bidaah Tunggu Kubur
Ada juga sebahagian masyarakat Melayu yang mengamalkan ‘Tunggu kubur’ . Mereka mengupah beberapa orang untuk menunggu kubur si mati untuk beberapa malam . Panjang masa menunggu adalah bergantung kepada kemampuan keluarga si mati . Lazimnya adalah dalam bilangan ganjil iaitu semalam , tiga malam , lima malam , tujuh malam dan seterusnya . Sebuah rumah kecil dibina berhampiran kubur si mati untuk tujuan membaca al-quran , berzikir dan sebagainya untuk 
simati . Penunggu-penunggu mendapat upah yang agak lumayan .

Hukum mengupah dan mengambil upah membaca al-Quran kepada simati , jumhur ulama menyatakan haram . Ini kerana, tiada pahala bagi orang yang membaca al-Quran kerana upah . Pada tahun 1917 , Syeikh Muhammad Bakhit telah mengeluarkan fatwa berhubung permasalahan kadar upah yang terjadi di antara pemberi dan penerima upah , beliau memfatwakan hukum mengambil upah membaca al-Quran untuk si mati adalah haram . Fatwa yang sama juga dikeluarkan oleh Mufti Mesir Abdul Majid Sulaim pada tahun 1942 dan Badan Kajian Dakwah dan Fatwa Kerajaan Arab Saudi , ( Fattawa Islamiyah , halaman 23 ) . 

Amalan ini adalah bidaah dan perbuatan mungkar yang wajib dicegah kerana ia jelas tidak dianjurkan oleh Rasullullah S.A.W dan tidak pula diamalkan oleh para sahabat dan ulama Salafus - Shalihin .

Bidaah Membina Bangunan Di atas Kubur
Di antara bidaah lain ialah ada juga di antara orang Melayu yang membina binaan di atas kubur . Ada kubur yang dibina dengan konkrit , marmar dan lain-lain yang mahal harganya . Kadang kala dibina kubah , menara , memasang lampu-lampu dan hiasan yang indah khususnya dari kalangan orang berada dan kubur-kubur keramat atau wali .

Ini adalah perbuatan yang membazir , riak dan takabbur . Di situ juga tersirat konsep pemujaan kepada ahli-ahli kubur . Perbuatan ini menyerupai amalan agama-agama lain.

Jabir ra. meriwayatkan katanya : “ Rasullullah SAW melarang mengecat kubur dengan kapur , duduk di atas kubur dan membina binaan di atasnya .” 
Hadis riwayat Muslim .

Selain itu , ada juga amalan yang menjadikan kubur sebagai tempat :-
Meminta sesuatu hajat
Meminta sesuatu melalui perantaraan kubur .
Berdoa di kubur kerana percaya bahawa berdoa dimakbulkan lebih mustajab dari di masjid .
Bernazar kepada kubur .
Membayar nazar kepada kubur .
Menyembelih binatang nazar di kubur .

Amalan-amalan di atas adalah bidaah dan tidak ada bezanya dengan kelakuan penyembahan berhala . Menurut Muhammad bin Abdul Wahab ( pengasas mazhab Wahabi ) , perbuatan ini adalah maksiat dan boleh membawa syirik . Perbuatan memuliakan kubur adalah terkeluar daripada batas-batas agama dan harta benda yang dibelanjakan untuk tujuan tersebut itu adalah sia-sia sahaja .

Bidaah Fidyah Solat Dan Kenduri Arwah
Dalam hal berkaitan kematian juga , kebanyakan masyarakat Melayu ada mengamalkan membayar fidyah untuk orang yang telah meninggal dunia yang semasa hidupnya ada meninggalkan solat . Perbuatan ini juga adalah bidaah kerana perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh nabi , para sahabat , al-salaf al-shalih dan tidak ada ulama yang membolehkannya .

Kenduri arwah atau kenduri kematian yang diamalkan oleh Masyarakat Melayu juga adalah bidaah . Amalan ini akan membebankan waris dengan menyediakan makanan dan banyak berbelanja untuk malam-malam tiga , malam tujuh , malam empat puluh hari dan seterusnya. Ini adalah juga bidaah yang bertentangan dengan sunnah Rasulullah dan golongan al-Salafu al-Salih r.a. dan kemudiannya .

Ulama memutuskan amalan ini berasal daripada budaya Firaun . Justeru itu , amalan ini adalah bidaah dan kadang-kadang berlaku salah guna pada harta peninggalan si mati seperti hutang yang sepatutnya dibayar , tidak diutamakan . Oleh itu , maka Majlis Fatwa Mesir tahun 1947 memutuskan haram dan hendaklah dihentikan amalannya .

Dalam satu peristiwa , apabila berlaku kematian anak bekas Mufti Mesir , Syeikh Hasanain Makhluf , setelah hampir empat puluh hari , beliau ditanya tentang tarikh memperingati hari kematian yang ke - 40 . Beliau menjawab “ Menghayati malam 40 dengan cara seperti yang biasa dilakukan itu suatu bidaah yang tidak bersumberkan Islam , buat anakku , cukuplah dengan amalan yang dilakukan olehnya sendiri .”
Jawapan tentang permasalahan ini telah disiarkan oleh akhbar al-Ahram bertarikh 27 Julai 1947 dan disahkan oleh Majlis Fatwa Mesir dan dikeluarkan dengan rasminya pada 14 Ogos 1947 . 

Bidaah Dalam Berwirid Dan Berdoa
Selain daripada itu , masyarakat Melayu juga gemar berdoa dengan suara keras dengan menggunakan pembesar-pembesar suara sehingga kedengaran jauh kerana sudah menjadi kebiasaan .

Sebenarnya , untuk berdoa , kita perlulah memenuhi tentang pantang larangnya , tidak boleh melalui perantaraan , dengan ikhlas , khusyuk dan tawadhuk , tidak riak , tidak takabbur dan tidak boleh dengan suara keras menengking .

Dalam hal ini Abu Musa al-Asf’ari meriwayatkan :
“Orang-orang yang mengangkat suara mereka dengan berdoa dalam sebahagian perjalanan , maka Rasulullah SAW bersabda kepada mereka : Batasilah diri kamu 
( jangan bersuara keras ) , kerana bahawasanya kamu tidak memohon kepada orang pekak dan bukan pula kepada orang yang tiada , sesungguhnya yang kamu meminta kepadanya itu adalah Maha mendengar dan dekat , lebih dekat kepada seseorang kamu dari tengkuk kenderaannya .” 

Apatah lagi jika berdoa dengan suara yang keras sehingga mengganggu orang lain , ia termasuk dalam bidaah yang tercela .

Bidaaah Membaca Al-Quran Atau Tarhim Di Menara Masjid
Membaca Al-Quran atau tarhim di menara masjid adalah juga bidaah .Lazimnya ia dilakukan dengan dibaca atau melalui pita rakaman lebih-lebih lagi dilakukan di waktu dinihari sebelum subuh . Bacaan-bacaan ini boleh mengganggu orang-orang sakit , orang-orang tidur ataupun orang-orang yang ingin beribadat . 
Menurut al-Imam Ibnu al-Jauzi , di antara pekerjaan-pekerjaan mungkar ialah seseorang bangun di malam hari di menara-menara masjid lalu membaca zikir atau sesuatu surah al-Quran dengan suara yang lantang lalu mengganggu manusia yang sedang tidur dan mengganggu bacaan orang-orang yang sedang bersolat tahajjud.

Sebab-sebab Timbulnya Bidaah

Jahil
Bidaah amat mudah membiak dalam satu masyarakat yang jahil , pemimpin yang jahil dan ulama yang beku dan kaku . Masyarakat ada sebahagiannya yang gemar membicarakan masalah agama yang tidak difahaminya . Tindakan memperkatakan urusan-urusan agama tanpa ilmu adalah satu kesesatan dan menyesatkan orang . 

Jahil dalam Bahasa Arab
Al-Quran , al-Hadis dan kitab-kitab yang muktabar adalah dalam bahasa Arab . Kejahilan dalam bahasa ini akan menyebabkan salah faham dan kesesatan .
Sebagai contohnya :
Allah berfirman :

و اعبد ربك حتى يأ تيك اليقين

Ertinya :
“ Dan hendaklah kamu menyembah Tuhanmu sehingga datanglah keyakinan kepadamu ,” 

Yang dimaksudkan dengan perkataan yakin di situ ialah mati , tetapi kerana kejahilan bahasa Arab , yakin disini dimaksudkan dengan keyakinan . Ayat itu diertikan sebagai : “Hendaklah kamu berabdi kepada Allah sehinggalah datang kepadamu keyakinan ” , maka apabila sudah ada keyakinan tidaklah lagi wajib berabdi kepada Allah . Akhirnya tidak berzakat, tidak bersolat dan tidak menunaikan fardhu haji kerana mereka beralasan telah sampai ke martabat yakin .

Jahil Sunnah
Maksudnya ialah kejahilan tentang martabat hadis sama ada shahih , hassan, dhaif dan maudhu’. Hadis-hadis yang terlalu dhaif seperti hadis mungkar , matruk , batil dan maudhu’sama sekali tidak boleh digunakan . Sebagai contoh , bagi menggalakkan umat supaya mengadakan perayaan maulid Nabi SAW maka hadis ini digunakan :

من عظم مو لدى كنت شفيعا له يوم القيا مه 

Ertinya :
“Barangsiapa yang membesarkan hari kelahirannku , maka akulah pemberi syafaat kepadanya pada hari qiamat .” 

Jahil Konsep Ibadat
Sebahagian masyarakat Melayu hanya memahami bahawa ibadat itu hanyalah terbatas kepada ibadat-ibadat yang khusus sahaja seperti solat wajib atau sunat , puasa wajb atau sunat , zakat , haji , umrah , sedekah , wakaf , zikir , tahlil , takbir , tasbih , tahmid , istighfar , membaca al-Quran dan sebagainya . Apa yang mereka faham ialah perkara yang selain daripada itu , tidak termasuk ibadat . Akhirnya mereka merasakan bahawa ruang lingkup ibadat menjadi sempit walaupun mereka telah melakukan semua ibadat khusus tersebut . Justeru itu , mereka mencari amalan-amalan lain dengan membaca sesetengah kitab yang diajar oleh sesetengah guru seperti solat khas pada malam-malam tertentu dan puasa khas pada hari-hari tertentu .

Mengikut Hawa Nafsu
Oleh kerana mengikut hawa nafsu , masyarakat Melayu sanggup melakukan penyelewengan . Nafsulah yang mengajak orang ingin menjaga kemasyhuran , menjaga kepentingan diri , keluarga , suku dan ingin dipuji . Nafsu jugalah yang menyebabkan timbulnya puak-puak sesat . Mereka sanggup mengada-ada , membuat alasan dan dolak dalik yang keluar dari dasar dan roh Islam yang sebenarnya .
Allah berfirman di dalam al-Quran :

ان النفس لا مارة بالسوء الامارحم ربى

Ertinya :
“ Sesungguhnya nafsu itu menyuruh berbuat jahat kecuali nafsu yang dirahmati oleh Tuhanku .” 

Taqlid Buta Kepada Guru
Manusia selain Rasul , walaupun betapa tinggi martabat keilmuannya dan kesolehannya tidak terlepas daripada kesilapan dan kesalahan . Sikap bertaqlid buta akan menyebabkan matinya roh ijtihad . Apabila berlakunya pertembungan antara fatwa guru dengan al-Quran dan al-Sunnah , fatwa gurulah yang diutamakan kerana guru dianggap serba tahu , keramat dan maksum . Jika dikaji , tidak ada imam-imam mujtahidin yang mewajibkan orang bermazhab kepada mereka . Sikap bertaqlid buta kepada guru-guru dan kitab-kitab tertentu adalah menjadi penyakit kepada umat dan menjadi punca lahirnya bidaah .

Memperdaya Umat Islam 
Sebahagian kaum Syiah dan sebahagian kaum Sufi mencipta bidaah dengan tujuan menghancurkan Islam dan menyesatkan kaum muslimin . Di dalam ilmu Tasauf , ada satu ajaran mengenai kasyaf . Kasyaf ialah sumber pengetahuan dalam ilmu tasawuf yang sama kedudukannya seperti akal dalam Ilmu Tauhid . Dengan kasyaf , orang boleh merombak sesuatu hukum yang telah ada atau mengadakan sesuatu cara ibadat yang belum atau tidak disyariatkan melalui lidah para rasul . Tidak hairanlah jika Agama Kristian di dunia sekarang ini ialah dari ajaran Paulus . Pengikutnya yakin bahawa beliau mendapat kasyaf berjumpa dengan Nabi Isa a.s sedangkan Nabi Isa sudah diangkat . 

Menurut tafsiran kitab Tafsir al-Azhar , juzu’ II , halaman 287 – 288 :
“Yang sangat merosak agama pula ialah yang ditimbulkan oleh golongan tasawwuf yang semacam itu ialah tentang adanya kasyaf . Kasyaf ertinya pembukaan rahsia yang tersembunyi . Menurut mereka , seseorang yang telah mencapai martabat wali itu boleh diberi Allah kelebihan dengan dikasyafkan kepadanya oleh Allah rahsia-rahsia yang tersembunyi , yang ghaib . Kadang-kadang mereka mengubah hukum agama yang tertulis di dalam al-Quran dan Hadis sebab tuan Syaikh telah mendapat kasyaf dari Allah baik di dalam suatu mimpi atau suatu ilham supaya dikerjakan begini atau begitu , yang tidak ada dari pokok syariat dari al-Quran dan Hadis itu .” 

Sebab-sebab Bidaah Membiak
Puncanya ialah , orang Melayu merestui dan mengikuti amalan-amalan bidaah setengah-setengah orang alim kerana berkeyakinan bahawa apa yang diamalkan orang alim itu adalah benar .

Selain itu , adat tradisi orang-orang Melayu sebelum kedatangan Islam masih dilakukan sebagai satu amalan agama seperti berkaitan dengan wanita mengandung , urusan kematian , perkahwinan dan perkara ini direstui oleh sesetengah guru dan mendiamkannya . Perbuatan ini ( mendiamkan diri ) dianggap membenarkan perbuatan bidaah . 

Ada juga orang yang cuba menegakkan sunnah dan menafikan bidaah tetapi dianggap mengajar ilmu sesat yang kononnya bertentangan dengan ajaran mazhab Syafi’i . Tidak kurang juga yang menganggap bidaah adalah masalah remeh-temeh dan tidak perlu diberi perhatian .

Selain itu apabila perasaan cintakan kedudukan dan ingin mempertahankannya berkumpul di dalam jiwa mula bermaharajalela , ada juga pemimpin tarikat atau pemimpin jamaah yang buta agama , untuk menjaga kedudukannya , sedangkan mereka bukan ahlinya , telah mencipta wirid , amalan zikir doa dan sebagainya untuk diberikan kepada murid-muridnya . Inilah sebabnya mengapa bidaah bertambah banyak sehingga tidak terhitung . 

Bidaah Yang Menjadikan Pengamalnya kufur 
Ada beberapa kepercayaan di kalangan masyarakat Melayu yang jika diamalkan boleh membawa kepada kufur . Bidaah ini ialah yang berkaitan dengan prinsip-prinsip agama seperti dalam masalah aqidah . Contohnya ialah seperti berikut :
Berfikiran dan berkeyakinan bahawa para wali di dalam kubur boleh melakukan perkara-perkara seperti di dalam dunia , boleh mengarahkan manusia yang hidup serta menjadi penyebab dalam mendapatkan sesutau ataupun tidak .
Berkeyakinan bahawa para wali lebih mulia daripada nabi SAW .
Berkeyakinan bahawa ada di antara para wali yang dipanggil untuk mendengar dan mengabulkan permohonan peminta seperti diselamatkan dari kesusahan atau kecelakaan .
Berkeyakinan bahawa ada ayat-ayat yang bertentangan di dalam al-quran .
Berfikiran bahawa siksa dan nikmat kubur itu tidak ada kerana bertentangan dengan akal .
Berkeyakinan bahawa sifat Allah itu ruh bagi Nabi Muhammad; sifat Muhammad ruh bagi manusia; sifat manusia ruh bagi binatang.
Mempercayai bahawa Awal pun Nur, Akhir pun Nur; Nur itu zat Allah' Nur itu Muhammad.
Sembahyang itu memadai dengan niat dalam hati jua. Tidak perlu 
mengerjakan rukun yang 13 itu , iaitu niat yang termaklum di sisi mereka 
sahaja .

Al-Masalihul Mursalah bukan bidaah 
Al-Masalihul Mursalah adalah bukan bidaah . Ia adalah tindakan lanjut dari kaedah prinsip “Suatu kewajipan yang tidak boleh sempurna kecuali dengan sesuatu maka sesuatu tersebut menjadi wajib. ” 
Perkara-perkara tersebut termasuklah :-
1. Mengumpulkan catatan-catatan Al-Quran sehiggga menjadi sebuah kitab.
2. Mengenakan denda dengan harta yang telah ditetapkan .
3. Memanfaatkan harta haram sementara tidak ditemukan harta halal .
4. Membuat mihrab di dalam masjid .
5. Membuat menara-menara dan tempat azan yang tinggi di masjid.
6. Meninggikan mimbar dengan bertingkat-tingkat agar jemaah yang besar dapat mendengar khutbah dengan lebih jelas.
7. Membuat pembesar suara agar dapat didengar oleh orang ramai .
8. Membukukan penemuan-penemuan baru seperti ilmu hadis , ilmu fiqh , nahu saraf dan lain-lain .
9. Membuat mesin-mesin berteknologi tinggi untuk menumbuk bji-bijian .
10. Menaiki kederaan seperti kapal terbang dan helikopter .
11. Membuat alat percetakan moden untuk mencetak buku .

Kesemua ini tidak ada dalam al-quran dan hadis , mahupun ijma’ . Kesemuanya termasuk dalam al-marsalihulmursalah . Ia adalah bukan bidaah .

Cara-cara Mencegah Dan Membasmi Bidaah
1. Mengharamkan buku-buku yang mengandungi perkara-perkara bidaah daripada disebarkan kepada masyarakat 
2. Pihak berkuasa tentang agama negeri ini hendaklah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memeriksa dan meneliti buku-buku agama .
3. Memberi penerangan kepada masyarakat supaya menghindari bidaah melalui khutbah jumaat , risalah , ceramah dan pengajian di surau-surau .
4. Menyebarkan kepada masyarakat sunnah-sunnah yang shahih .
5. Memastikan perlantikan jawatan-jawatan seperti pegawai-pegawai agama , bilal-bilal , mubaligh-mubaligh , guru agama hendaklah diberikan kepada yang benar-benar layak .
6. Semua tenaga agama hendaklah diberi kursus tentang perkara bidaah dan cara mengatasinya .
7. Kerajaan , alim ulama dan guru-guru hendaklah terlebih dahulu meninggalkan perkara bidaah .

Kesimpulan 

Bidaah ialah perkara yang baru yang tiada dalam syariat . Jika ia berkaitan dengan akidah , amal ibadat dan kepercayaan , ia akan menjadikan pengamalnya kufur . Jika ia berkaitan dengan al-marsalih al-mursalah , ia tidak dinamakan bidaah .Urusan-urusan adat yang tiada ketentuannya dari syarak adalah satu kebebasan kepada manusia untuk mengurus mengikut kebijaksanaan mereka .Bidang-bidang ini termasuklah pertanian , perladangan , perburuan penternakan, perlombongan dan sebagainya .

Mewujudkan jentera , kilang mesin dan sebagainya adalah tidak dinamakan bidaah walaupun menurut bahasa ia dinamakan bidaah .

Bidaah adalah satu perbuatan yang tercela dan dosa serta melibatkan penolakan amalan oleh Allah . Besar atau kecilnya dosa bidaah yang dilakukan dan berdasarkan motif apa bidaah itu dilakukan . Allah telah berfirman : 

ام لهم شركؤا شرعوا لهم من الدين مالم يادن به الله
Ertinya :
“ Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka dari urusan agama yang tidak diizinkan Allah ?” 

Masyarakat Melayu perlulah lebih berfikiran terbuka dan lebih banyak membaca serta berguru . Mereka tidak boleh hanya mengharapkan satu sumber pengetahuan sahaja . Lebih-lebih lagi pada zaman moden yang memasuki era globlisasi ini . Mereka perlu melihat dunia dengan mata burung dan bukan dengan mata tempurung . 

Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kita telah mengamalkan bidaah yang tercela dan boleh membawa kepada kekufuran . Sesungguhnya batu sempadan kekufuran itu tidak kelihatan . Jika kita tersilap langkah , kita akan berada di sebelah kiri batu sempadan keimanan dan menjerumuskan diri ke dalam neraka Allah . 

Dengan mendalami Tauhid Uluhiyah , Tauhid Rububiyah dan Tauhid Asma’ dan Tauhid al-Sifat , kita akan lebih tenteram kerana kita berada dalam lingkungan kefahaman yang boleh menyelamatkan diri kita daripada perkara-perjara syirik , khurafat dan bidaah dan Insya Allah kita tergolong dalam golongan yang dinamakan golongan Al-sabiqun dan golongan ashabul Yamin . Semoga amalan kita semua diterima oleh Allah dan kita terhindar daripada sebarang anasir bidaah , syirik dan khurafat .


Wallhu a’lam bis sawwab .


Bibliografi

AbdulFattah Haron Ibrahim ( Prof. Madya ), Beberapa Masalah Utama Dalam Tasawuf : 1992 , Kuala Lumpur , Bahagian Hal Ehwal Islam , Jabatan Perdana Menteri .
Abdul Ghani Bin Yahya , Idaman Penuntut Pada Menghuraikan Yang Kusut Penggal Yang Pertama ( Ilmu Fiqh ) : 1990 , Johor Bahru , Penerbitan Haji Abd. Ghani Haji Yahya .
Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris ( Drs. ) , Al- Bidaah Bahaya dan keburukannya : 2000 , Kuala Lumpur , Al-Hidayah Publishers . 
Hassan bin Haji Ahmad , Usul Fiqh : 2002 , Kuala Lumpur , Pustaka Haji Abdul Hamid
H.M. Tuah Iskandar , 600 Jawapan Kemusykilan Agama Jld. 1 : 1998 , Kuala Lumpur , Karya Bistari Sdn. Bhd.
H.M. Tuah Iskandar , 600 Jawapan Kemusykilan Agama Jld. 2 : 1999 , Kuala Lumpur , Karya Bistari Sdn. Bhd.
Kasmuri Selamat MA , Rahsia Dan Amalan Bulan Islam , Muharam - Zulhijjah : 2000 , Kuala Lumpur , Darul Nu’man .
Ma’mur Daud , Terjemah Hadis Shahih Muslim : 1997 , Selangor , Klang Book Centre .
Muhammad Sjafi’i Hadzami bin Muhammad Saleh Raidi , Seratus masalah Agama : 2000 , Kuala Lumpur , Victoria Agencie .
Mohd . Yusuf Ahmad , Perkembangan Mazhab-Mazhab Ilmu Kalam Dalam Islam : 1995 , Kuala Lumpur , Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia .
Noh bin Gadut , Khutbah-khutbah Jumaat : 1991 , Johor Bahru , Bahagian Penerbitan Jabatan Agama Johor .
Salim Bahreisy , Terjemahan Riadhus Shalihin Jld. 1 dan 2 : 1995 , Kuala Lumpur , Victory Agencie .
Syed Alwi bin Tahir al-Hadad , Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor : 1990 , Johor Bahru , Bahagian Penerbitan Jabatan Agama Johor .
Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz , Berhati-hati terhadap Bidaah : 2004 , Johor Bahru , Perniagaan Jahabersa .
Syeikh Abu Bakar Jabir Al-Jazairi , Bidaah sumber Kehancuran Umat : 2002 , Johor Bahru , Perniagaan Jahabersa .
Zainuddin Hamidy , Fachruddin Hs , Tafsir al-Quran : 1991 , Selangor , Klang Book Centre .
Akhbar Mingguan Malaysia , Ruangan 1,001 Kemusykilan .

Sumber : http://ppdkerian.edu.my/portal/modules.php?name=News&file=article&sid=789

24 June 2013

Nisfu Syaaban Dan Syafaat’nya



Assalammualaikum..

Semoga para sahabat sihat2 selalu dan diberkati oleh Allah S.W.T sempena bulan Nisfu Syaaban ini, marilah kita membaca dan menambah ilmu mengenai nisfu syaaban dan apakah syafaatnya..

– Fatwa tentang merayakan malam Nisfu Syaaban –


Bacaan yasin
Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam nisfu Syaaban ( 15hb Syaaban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti , selepas bacaan Yasin pertama dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yasin kedua doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yasin ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.
Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar dunia masa kini tentang sahih batilnya amalan ini.

Kita beramal dan beribadat adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan . Amalan ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah s.a.w. atau sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran dan as-sunnah . Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bidaah yang tertolak dan dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan memenatkan badan.

Kita boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam nisfu Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita digalakkan berdoa apa saja kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yasin di malam nisfu Syaaban. Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung di masjid-masjid dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah s.w.t.

Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ulama terkemuka di Timur Tengah untuk menjelaskan tentang amalan bidaah di malam nisfu Syaaban. Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan membaca Yasin dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca Yasin dan doa ini adalah sebahagian dari sekian banyak amalan bidaah ciptaan rakyat tempatan khusus untuk amalan penduduk nusantara ini!

‘Solat Sunat’ Nisfu Syaaban
Firman Allah (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” [al-Maa’idah 5:3]. “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?” [al-Syur.a 42:21]

Dalam kitab al-Sahihain diriwayatkan daripada `Aisyah (r.a) bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: “barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak.”

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a, Nabi (s.a.w) bersabda dalam khutbah Baginda: “Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ Rasyidun, serta berpegang teguhlah padanya… Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu adalah sesat.” Terdapat banyak lagi ayat Qur’an dan hadis yang seumpamanya.

Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah sempurnakan agama umat ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka. Tuhan tidak mengambil nyawa RasulNya sehinggalah Baginda selesai menyampaikan perutusan dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada ummah segala apa yang telah diperintahkan Allah samada amalan perbuatan mahupun percakapan. Baginda s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang direka selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik.

Para Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini, begitu juga para salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung Sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh bin Waddah, al-Tartushi, bin Shamah dan lain-lain.

Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadis dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadis-hadis diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena nisfu Syaaban kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama. Kita akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim ulama ini.

Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian ulama salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut nisfu Syaaban adalah bid’ah, dan hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain. Hadis-hadis dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada asas yang Sahih bagi sambutan nisfu Syaaban, oleh itu hadis-hadis dha`if tersebut tidak dapat digunapakai.

Prinsip asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh al-Islam bin Taymiyah (rahimahullah). Para alim ulama (rahimahumullah) telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan di kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu atau kedua-duanya adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa yang didapati bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Qur’an dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafkannya.

Sebagaimana Firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” [al-Nisa’ 4:59]

“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).”[al-Shura 42:10]. “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Aal ‘Imr.an 3:31]

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [al-Nisa’ 4:65]

Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas, yang menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk kepada Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini merupakan syarat iman, dan inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat: “Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” [al-Nisa’ 4:59 – mafhumnya] maksudnya ialah Hari Akhirat.
Al-Hafiz bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi’in di kalangan penduduk Sham, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah…

Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang (adanya sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang Malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi (s.a.w) ataupun daripada Para Sahabat Baginda …”

Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab (R.A). Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada Sahabat-sahabat Baginda (R.A) mengenai Malam Nisfu Shaaban (pertengahan bulan Syaaban).

Dalam keadaan di mana tidak ada bukti shar’i bahawa apa-apa perkara itu disuruh oleh Islam, tidak dibenarkan bagi Umat Islam untuk mereka-reka perkara baru dalam agama Allah, tidak kiralah ianya amalan perseorangan ataupun berkumpulan, samada dilakukan secara terbuka mahupun tertutup, berdasarkan maksud umum hadith Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa melakukan apa sahaja amalan yang bukan sebahagian daripada urusan kita ini [Islam], amalan itu akan tertolak.” Banyak lagi dalil yang menegaskan bahawa bid’ah mesti ditegah dan memerintahkan agar menjauhinya.

Imam Abu Bakr al-Tartushi (R.A) menyebut dalam kitabnya al-Hawadith wa’l-Bida’: “Ibn Waddah meriwayatkan bahawa Zayd bin Aslam berkata: Kami tidak pernah menemui seorang pun dari kalangan ulama dan and fuqaha’ kami yang memberi perhatian lebih kepada Malam Nisfu Shaaban, tidak ada juga yang memberi perhatian kepada hadith Makhul, atau yang beranggapan bahawa malam tersebut adalah lebih istimewa daripada malam-malam lain. Pernah ada orang mengadu kepada Ibnu Abi Maleekah bahawa Ziyad an-Numairi mengatakan bahawa pahala di Malam Nisfu Shaaban adalah menyamai pahala Lailatul-Qadar. Beliau menjawab, “Sekiranya aku dengar sendiri dia berkata begitu dan ada kayu di tanganku, pasti aku akan memukulnya (dengan kayu itu). Ziyad seorang pereka cerita.”

Al-Shaukani (R.A) berkata dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah: “Hadith yang berbunyi: ‘Wahai ‘Ali, barangsiapa bersolat seratus rakaat di Malam Nisfu Shaaban, dengan membaca pada setiap rakaat Ummul Kitab [Surah al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali, Allah akan memenuhi segala keperluannya…’ Hadis ini maudhu’ (rekaan semata-mata). Susunan katanya menyebut dengan jelas ganjaran yang akan diterima oleh orang yang melakukannya, dan tidak ada orang yang waras yang boleh meragui bahawa ‘hadis’ ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi, perawi dalam isnad hadis ini adalah majhul (tidak dikenali). ‘Hadis’ ini juga diriwayatkan melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah direka dan kesemua perawinya adalah are majhul (tidak diketahui asal-usulnya).

Di dalam kitab al-Mukhtasar, beliau menukilkan: Hadith yang menyebut tentang solat di tengah bulan Syaaban adalah hadis palsu, dan hadis Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “ Apabila tiba malam pertengahan Syaaban, penuhilah malamnya dengan solat dan berpuasalah di siang harinya” – adalah dhaif (lemah).

Di dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus rakaat di pertengahan Syaaban, membaca (Surah) al-Ikhlas sepuluh kali di setiap rakaat… (hadis ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi dalam tiga isnadnya adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah). Katanya lagi: dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali setiap rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga adalah maudhu’.

Beberapa orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadis palsu ini, antaranya pengarang al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian ulama mufassirin. Solat khusus di malam ini – di pertengahan bulan Syaaban – telah diterangkan dalam pelbagai bentuk, kesemuanya adalah palsu dan direka-reka.”
Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di malam pertengahan Syaaban adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu terhadap Rasulullah s.a.w.”

Imam al-Nawawi berkata di dalam bukunya al-Majmu’: “Sembahyang yang dikenali sebagai solat al-raghaa’ib, didirikan sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan ‘Isyak pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab, dan sembahyang sunat Malam Nisfu Shaaban, sebanyak seratus rakaat – kedua-dua sembahyang ini adalah bid’ah yang tercela. Sepatutnya orang ramai tidak tertipu disebabkan ianya disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya’ ‘Ulum al-Din, atau oleh hadis-hadis yang disebutkan dalam kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga tidak sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah keliru dalam hal ini dan menulis beberapa helaian yang menyebut bahawa sembahyang ini adalah mustahabb (sunat), kerana dalam hal ini mereka tersilap.”

Sheikh al-Imam Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman bin Isma’il al-Maqdisi telah menulis sebuah kitab yang amat berharga, yang membuktikan bahawa riwayat-riwayat tersebut adalah palsu, dan jasa beliau sangatlah besar. Alim `ulama telah membincangkan hal ini dengan panjang lebar, dan sekiranya kami ingin memetik keseluruhan perbincangan tersebut untuk dicatatkan di sini, tentu akan mengambil masa yang sangat panjang. Mudah-mudahan apa yang telah disebutkan di atas sudah memadai bagi anda yang mencari kebenaran.

Daripada ayat-ayat Qur’an, hadis-hadis dan pendapat ulama yang dipetik di atas, sudah jelas bagi kita bahawa menyambut pertengahan bulan Syaaban dengan cara bersembahyang di malamnya atau dengan mana-mana cara yang lain, atau dengan mengkhususkan puasa pada hari tersebut, adalah bid’ah yang ditolak oleh jumhur ulama. Amalan tersebut tiada asas dalam syariat Islam yang tulen; bahkan ianya hanyalah salah satu perkara yang diada-adakan dalam Islam selepas berakhirnya zaman Sahabat (radhiallahu `anhum).

Amat memadai, dalam hal ini, untuk kita fahami kalam Allah (mafhumnya):
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu..…”[al-Ma’idah 5:3]. dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima” dan beberapa hadis yang serupa.

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Abu Hurarah (R.A) berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk bersembahyang malam dan janganlah khususkan siang hari Jumaat untuk berpuasa, melainkan jika puasa di hari itu adalah sebahagian daripada puasa-puasa yang kamu amalkan berterusan-berterusan.’”

Seandainya dibenarkan untuk mengkhususkan mana-mana malam untuk amalan ibadah yang istimewa, sudah tentu malam Jumaat adalah yang paling sesuai, kerana siang hari Jumaat adalah hari yang paling baik bermula terbit mataharinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis Sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. Memandangkan Nabi Muhammad s.a.w sendiri melarang dari mengkhususkan malam tersebut untuk bertahajjud, itu menandakan bahawa adalah lebih dilarang sekiranya dikhususkan malam-malam lain untuk sebarang bentuk ibadat, kecuali di mana terdapat nas yang Sahih yang mengkhususkan malam tertentu.

Oleh kerana telah disyariatkan untuk memenuhi malam Lailatul-Qadr dan malam-malam lain di bulan Ramadhan dengan bersolat, Rasulullah s.a.w memberi perhatian kepadanya dan menyuruh umatnya bersolat malam sepanjang tempoh tersebut. Baginda sendiri melaksanakannya, sebagaimana disebut dalam al-Sahihain, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa bersolat qiyam di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, Allah akan ampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” dan “Barangsiapa memenuhi malam Lailatul Qadr dengan bersolat (sunat) disebabkan iman dan mencari pahala, Allah ampunkan kesemua dosanya yang telah lalu.”

Akan tetapi sekiranya disyariatkan untuk mengkhususkan malam pertengahan bulan Syaaban, atau malam Jumaat pertama di bulan Rejab, atau di malam Isra’ dan Mi’raj, dengan meraikannya ataupun dengan melakukan amalan ibadat yang khusus, maka sudah tentu Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya melakukannya, dan Baginda sendiri melakukannya. Jika pernah berlaku sedemikian, para Sahabat Baginda (R.A) pasti akan memperturunkan amalan amalan tersebut kepada umat terkemudian; tidak mungkin mereka menyembunyikan amalan daripada umat terkemudian, kerana mereka adalah generasi yang terbaik dan yang paling amanah selepas Rasulullah, radhiallahu `anhum, dan semoga Allah merahmati kesemua sahabat Rasulullah s.a.w.

Sekarang kita telah membaca sendiri kata-kata ulama yang dipetik di atas bahawa tidak ada riwayat daripada Rasulullah s.a.w mahupun Para Sahabat (R.A) berkenaan kelebihan malam Jumaat pertama bulan Rejab, atau malam pertengahan bulan Syaaban. Maka kita tahu bahawa menyambut hari tersebut adalah satu perkara baru yang dimasukkan ke dalam Islam, dan mengkhususkan waktu-waktu ini untuk amalan ibadat tertentu adalah bid’ah yang tercela.

Samalah juga dengan sambutan malam ke dua puluh tujuh bulan Rejab, yang mana disangkakan oleh sesetengah orang sebagai malam Isra’ dan Mi’raj; tidak dibenarkan mengkhususkan hari tersebut untuk amalan tertentu, atau meraikan tarikh tersebut, berdasarkan dalil yang dipetik di atas. Ini sekiranya tarikh sebenar Isra’ and Mi’raj telah diketahui, maka bagaimana sekiranya pandangan ulama yang benar adalah tarikh sebanar Isra’ and Mi’raj tidak diketahui! Pandangan yang mengatakan ianya berlaku pada malam ke dua puluh tujuh di bulan Rejab adalah riwayat yang palsu yang tiada asas dalam hadis-hadis sahih. Baik sekiranya seseorang itu berkata: “Perkara paling baik adalah yang mengikut jalan para salaf, dan perkara paling buruk adalah perkara yang diada-adakan.”

Kita memohon agar Allah membantu kita dan seluruh umat Islam untuk berpegang teguh kepada Sunnah dan menjauhi segala yang bertentangan dengannya, kerana Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Semoga Allah merahmati Pesuruh dan UtusanNya, Nabi kita Muhammad s.a.w, serta kesemua ahli keluarga dan Para Sahabat baginda.

02 June 2013

Perempuan Yang Bermimpi Mengeluarkan Sperma Sebagaimana Lelaki Lalu Mandi Junuh


Dari Ishak bin Abu Talhah, dari Anas r.a. dia berkata, "Ummu Sulain(nenek Ishak) datang kepada Rasulullah s.a.w seraya bertanya kepada baginda, sedangkan Aisyah berada di sisi baginda, "Ya Rasulullah ! Bagaimana bila perempuan bermimpi sehingga mengeluarkan mani sebagaimana yang dialami lelaki?" Aisya berkata," Hai Ummu Sulain, celaka! kamu telah membuka aib wanita." Maka Rasulullah berkata kepada Aisyah," Justeru kamulah yang celaka. Ya, hendaklah dia mandi! wahai Ummu Sulain jika dia mengalami hal tersebut." 
Hadis Riwayat Muslim 1/171

15 February 2013

Hukum Jilat Kemaluan Isteri




Apakah Hukum Menjilat Kemaluan Isteri

Para ulama’ masih berbeza pendapat mengenai hukum mencium,menghisap, dan menjilat kemaluan isteri ataupun lebih dikenali pada hari ini dengan oral seks. Hal ini berikutan dengan tidak terdapatnya dalil yang jelas yang melarang perbuatan tersebut.

Walau bagaimanapun, sekiranya hanya sekadar menyentuh atau menggosok kemaluan suami ataupun isteri tanpa melakukan “oral seks”, para ulama’ menyatakan bahawa ia adalah dibenarkan menurut para ulama Islam kerana ia tergolong dalam bentuk aktiviti yang boleh menaikkan syahwat antara suami dan isteri, malah ia adalah diharuskan.

Sebagai kesimpulannya, dalam isu oral seks ini para ulama terbahagi kepada dua kumpulan :


1.Yang mengharuskan :

Dr Syeikh Yusof Al-Qaradawi berfatwa HARUS untuk mencium kemaluan isteri atau suami dengan syarat tidak menghisap atau menelan apa jua cecair yang keluar darinya. Menelan atau menghisap cecair tersebut adalah MAKRUH disisi Islam kerana ia salah satu bentuk perlakuan zalim (meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya) dan melampaui batas dalam hubungan seksual.

Menurutnya lagi, tindakan ini harus selagi mana ianya benar-benar dirasakan perlu bagi menghadirkan kepuasan kepada pasangan suami dan isteri, terutamanya jika ia dapat menghindarkan pasangan ini dari ketidakpuasan yang boleh membawa mereka ke lembah perzinaan yang sudah terang amat dilarang di dalam Islam.


2.Yang mengharamkan:

Kebanyakan daripada ulama Saudi mengharamkan perbuatan tersebut. Antaranya

Mufti Saudi Arabia bahagian Selatan, Asy-Syaikh Al‘Allamah Ahmad bin Yahya An-Najmi berpendapat: “Adapun hisapan isteri terhadap kemaluan suaminya (oral sex), maka ini adalah haram, tidak dibolehkan. Ini Kerana ia (kemaluan suami) dapat memancarkan mani, mazi dan sebagainya. Jika air-air tersebut memancar, maka akan keluar darinya air mazi yang mana ia adalah najis menurut kesepakatan (ulama’). Apabila (air mazi itu) masuk ke dalam mulutnya lalu ke perutnya maka boleh jadi akan menyebabkan datangnya penyakit kepada dirinya”.

Pakar sakit puan, Dr Ismail Thambi mengatakan bahawa bakteria yang berada di mulut adalah sangat banyak bilangannya jika dibandingkan dengan yang terdapat di kemaluan, justeru itu beliau menyatakan tindakan melakukan oral seks dibimbangi boleh membawa penyakit kepada kemaluan pasangan akibat daripada terdapat banyaknya kewujudan bakteria dan kuman di dalam bahagian mulut pasangan.

Seorang ilmuan Islam, Syeikh Nasiruddin Albani berpendapat bahawa perbuatan tersebut adalah perbuatan sebahagian daripada binatang, seperti anjing. Dan kita di dalam Islam mempunyai dasar umum seperti yang terdapat di dalam banyak hadits yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW melarang umatnya untuk tasyabbuh atau menyerupai perbuatan yang dilakukan oleh haiwan-haiwan.

06 February 2013

Hukum Telan Air Mani Suami


Soalan Ustaz, apakah hukum ‘oral sex' ? atau dalam kata lainnya seks menggunakan mulut iaitu dengan menghisap atau menjilat kemaluan isteri atau mengulum kemaluan suami. Bagaimana pula jika ia dilakukan oleh pasangan kekasih yang belum berkahwin, adakah ia zina? Jika tertelan air mani suami pula ustaz, bagaimana ye?..Terima kasih atas jawapan ustaz.- Anak Empat -


Jawapan
Berkenaan isu oral seks, ulama terbahagi kepada dua kumpulan :-

Yang mengharuskan :
Dr Syeikh Yusof Al-Qaradawi (rujuk www.islamonline.net) berfatwa harus untuk mencium kemaluan isteri atau suami dengan syarat tidak menghisap atau menelan apa jua cecair yang keluar darinya. Menelan atau menghisap sebegini adalah MAKRUH disisi Islam kerana ia salah satu bentuk perlakuan zalim (meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya) dan melampaui batas dalam hubungan seksual.

Apa yang pasti diharamkan menurut beliau adalah ‘anal sex' atau seks melalui lubang dubur, kerana terdapat nas yang jelas mengharamkannya, adapun ‘oral seks' tiada sebarang nas jelas dari Al-Quran dan hadis yang melarangnya.

Pandangan ‘harus' atau boleh dilakukan ini dikongsi oleh Mufti Mesir, Syeikh Dr Ali Al-Jumaah dan juga Dr. Sabri `Abdul Ra'ouf (Prof Fiqh di Univ Al-Azhar) apabila mereka menegaskan, tindakan ini harus selagi mana ianya benar-benar dirasakan perlu bagi menghadirkan kepuasan kepada pasangan suami dan isteri, terutamanya jika ia dapat menghindarkan pasangan ini dari ketidakpuasan yang boleh membawa mereka ke lembah zina kelak.

Perbincangan ringkas
Namun begitu, saya kira kesemua mereka yang mengharuskan termasuk Syeikh Yusof Al-Qaradawi tidak pula menghuraikan satu isu yang mungkin boleh dipanjangkan perbahasannya, iaitu bab kenajisan air mazi dan air mani.

Justeru, saya mengira fatwa beliau mungkin boleh digunakan jika dalam keadaan tiada sebarang cecair dikeluarkan semasa aktiviti oral sex ini dilakukan. Namun keadaan ini dikira sukar berlaku kerana bagi seseorang yang normal, nafsu yang meningkat pastinya akan mengeluarkan cecair pelincir iaitu mazi.
Air mani lelaki dan wanita dianggap najis menurut mazhab Hanafi dan Maliki. Mazhab Syafie dan Hanbali pula mengganggapnya suci.

Namun semua ulama bersetuju air mazi adalah najis. Hasilnya, majoriti pandangan ulama yang menyatakan menelan dan hisap termasuk cecair mazi ini adalah haram atau makruh berat. Beberapa ulama kontemporari menegaskan perlu membasuh dengan segera jika terkena mazi tadi.

Mazi ibarat najis lain yang dianggap kotor dalam Islam, justeru haram memakan tahi, meminum air kencing dan termasuk juga air mazi ini. Bukan sekadar haram memakan najis malah ulama empat mazhab juga memfatwakan haram menjual najis (kecuali diketika wujudnya teknologi untuk menggunakannya sebagai baja), apatah lagi untuk menjilat, hisap dan menelannya. Sudah tentulah ia lebih lagi diharamkan.
Selain itu, menurut undang-undang Malaysia juga ia adalah satu perara yang tidak normal, khusus buat orang yang agak luar biasa nafsunya.

"Oral seks" juga tergolong dalam kategori perlakuan seks luar tabie, ia adalah salah menurut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sebat dan 20 tahun penjara.
Justeru, mana-mana pasangan kekasih yang melakukan perkara ini, boleh dilaporkan dan diambil tindakan oleh undang-undang Malaysia. Dari sudut undang-undang Islam, ia dikira berdosa besar dan bolehlah dijadikan sebat dan 20 tahun penjara tadi sebagai peruntukan ta'zir di dalam Islam bagi mereka yang sabit bersalah.

Ulama Yang Mengharamkan
Kebanyakan ulama Saudi mengharamkan perbuatan ini, ini dapat dilihat dari fatwa-fatwa berikut [1] :-
Mufti Saudi Arabia bahagian Selatan, Asy-Syaikh Al`Allamah Ahmad bin Yahya An-Najmi menjawab sebagai berikut,

"Adapun hisapan isteri terhadap kemaluan suaminya (oral sex), maka ini adalah haram, tidak dibolehkan. Ini Kerana ia (kemaluan suami) dapat memancarkan mani, mazi dan lain-lain. Kalau memancar, maka akan keluar darinya air mazi yang ia najis menurut kesepakatan (ulama'). Apabila (air mazi itu) masuk ke dalam mulutnya lalu ke perutnya maka boleh jadi akan menyebabkan penyakit baginya.

Melalui pandangan ini, kita dapat melihat satu point yang penting, iaitu sejauh mana tindakan ini boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan pasangan. Menurut pembacaan saya, ulama yang membolehkan perilaku ini juga bersetuju untuk mengganggapnya haram jika dapat dipastikan dan dibuktikan dari sudut saintifik, ia boleh membawa bakteria dan menyebabkan penyakit yang serius.

Saya teringat pakar sakit puan, Dr Ismail Thambi pernah menyatakan bahawa bakteria yang berada di mulut adalah sangat banyak berbanding di kemaluan, justeru beliau menyatakan tindakan ‘oral sex' dibimbangi boleh membawa penyakit kemaluan disebabkan bahagian mulut pasangan yang mempunyai banyak bakteria dan kuman.

Selain itu, seorang lagi ilmuan Islam iaitu Syeikh Nasiruddin Albani berkata :-

"Ini adalah perbuatan sebahagian binatang, seperti anjing. Dan kita mempunyai dasar umum bahawa di dalam banyak hadits, Ar-Rasul melarang untuk tasyabbuh (menyerupai) haiwan-haiwan, seperti larangan beliau turun (sujud) seperti turunnya unta, dan menoleh seperti tolehan serigala dan mematuk seperti patukan burung gagak. Dan telah dimaklumi pula bahawa Nabi Shallallahu `alahi wa sallam telah melarang untuk tasyabbuh (menyerupai) dengan orang kafir, maka diambil juga daripada makna larangan tersebut pelarangan tasyabbuh dengan haiwan-haiwan-sebagai penguat yang telah lalu, apalagi haiwan yang telah diketahui keburukan tabiatnya. Maka sewajarnya seorang muslim - dan keadaannya seperti ini - merasa tinggi untuk menyerupai haiwan-haiwan"

Namun, pendapat peribadi saya mendapati pandangan dan dalil yang digunapakai oleh Syeikh Albani ini adalah tidak begitu kukuh, namun saya tidak berhasrat untuk membincangkannya dengan panjang lebar di ruang ini.

Tindakan men‘generalize' semua jenis persamaan (tasyyabbuh) sebagai haram secara total juga boleh didebatkan kesohihannya. Demikian juga menyamakannya dengan perilaku binatang, benarkah binatang melakukan ‘oral seks'?, jika sekadar menjilat mungkin ye, namun menghisap kemaluan si jantan? Adakah binatang yang melakukannya?. Saya tidak pasti. Bagaimana pula binatang ada juga yang mencium dan memeluk pasangannya. Adakah mencium dan memeluk juga diharamkan kerana menyerupai binatang.? Sudah tentu tidak.

Kesimpulan
Melalui perbincangan dan pendedahan ringkas di atas, jelas kepada kita perbezaan dua kumpulan ulama ini. Dari hasil penelitian terhadap pendapat mereka bolehlah saya rumuskan bahawa :-

1) Elok dijauhi aktiviti ini dan menghadkan kepada perilaku seks yang lebih sihat bersama pasangan. Ini bagi menjauhi perklara khilaf.

2) Harus bagi suami isteri untuk mencumbu kemaluan pasangan mereka dengan syarat tidak menghisap, jilat dan menelan apa jua cecair. Ia juga dituntut untuk membersihkan mulut dan kemaluan mereka sebelum melakukan aktiviti ini sebaik mungkin bagai meninimakan kemungkinan penyakit. Namun ia makruh yang cenderung kepada haram (makruh tahrimi) jika perbuatan ini sengaja untuk meniru-meniru perbuatan aksi seks melampau golongan bukan Islam dan juga binatang.

3) Haram hukumnya menelan mazi dan mani pasangan kerana Islam mengharamkan umatnya dari melakukan perkara kotor sebegini, sama juga seperti diharamkan menjual najis (kecuali baja yang akan diproses melalui dengan bahagian kimia)

4) Hukumnya menjadi harus berdasarkan keringanan khusus yang diberi oleh Islam atau disebut ‘rukhshah' kepada pasangan yang amat perlukannya bagi mengelakkan ketidakpuasan dan membawa masalah besar rumah tangga atau lebih dahsyat lagi, zina secara rambang diluar rumah.

5) Hukum melakukannya bersama pasangan kekasih atau mana-mana pasangan sebelum nikah yang sah adalah haram, dosa besar dan boleh didakwa dengan hukuman 20 tahun penjara di Malaysia. Namun ia tidak dianggap berzina dalam erti kata dan takrif zina yang disebut di dalam kitab-kitab Fiqh Islam. Ia hanya dianggap sebagai muqaddimah zina atau perdahuluan zina. Dalam kaedah fiqh Islam, "Apa-apa yang membawa kepada haram, hukumnya adalah haram jua"

Sebagai akhirnya, selain dari membincangkan soal hukum, kita mesti jelas bahawa hukum Islam sentiasa ingin melahirkan keutuhan rumah tangga dan masyarakat. Kita mesti sedar dan berfikir samada tindakan oral seks ini benar-benar membawa sesuatu yang berharga buat keharmonian rumahtangga kita, dan apa pula kesannya kepada nafsu diri. Adakah ia semakin mampu dikawal atau semakin buas sebenarnya.
Kita bimbang, tindakan ini boleh membawa kepada keinginan nafsu yang semakin membara dan tidak terkawal sehingga membhayakan diri dan masyaarakat di sekeliling kita disebabkan nafsu buas dan luar biasa yang sentiasa dilayan ini. Layanlah nafsu secara berpada-pada agar tidak ditawan olehnya kelak. Fikirkan...
Sekian