08 September 2012

Kehebatan Doa

Sabda Rasululla s.a.w : " Doa itu adalah anak kunci pintu rahmat" (Ad-Dailami)

Kehebatan Doa

Kali pertama bumi diciptakan, bumi selalu bergoyang,bergoncang dan tidak berputar dengan stabil malah tidak berputar pada paksinya. Perkara ini merungsingkan para malaikat lalu para malaikat menghadap Allah S.W.T;

" Wahai Rabb Yang Maha Mengetahui, mengapa bumi ini bergoyang?" Tanya para malaikat.

"Lalu, bagaimana Engkau memaku bumi Wahai Rabb?" Tanya malaikat lagi.

"Aku akan menciptakan gunung-ganang." Jawab Allah. 

Setelah itu, Allah terus menciptakan gunung-ganang diberbagai belahan bumi. Apa yang terjadi adalah sememangnya benar setelah diciptakan gunung-ganang, bumi pun diam kemudian berputar sesuai paksinya. Maka kemudian gunung dikenali sebagai paku bumi yang diciptakan Allah SWT. Paku merupakan benda keras yang diciptakan paku bumi iaitu gunung-ganang, kemudian para malaikat bertanya lagi;

"Ya Rabb, apakah yang lebih kuat dari paku?'

"Ada!" Jawab Allah. "Iaitu api, yang dengan panasnya dapat melelehkan besi."

"Apakah yang lebih kuat lagi selain api, Ya Rabb?" Tanya malaikat.

"Ada! Yakni air yang dapat memadamkan api." Jawab Allah lagi.

"Jadi Ya Rabb, apakah yang lebih kuat dari air?" Sambung malaikat.

"Ada! Iaitu angin, yang kerananya dapat membawa air kemana pun ia berhembus." Jawab Allah lagi.

"Tapi Ya Rabb, apakah yang lebih kuar daripada semua itu(gunung,api,air dan angin)?" Malaikat bertanya lagi.

"Ada! Iaitu nafas hamba-Ku yang berdoa kepada-Ku. Kerana sesungguhnya doa itu mampu mengubah takdir-Ku." Demikian Allah SWT menjelaskan.


P/S : Gunakan kehebatan doa untuk mengubah nasib kita. Wallahualam

Syaitan kalah dengan orang yang ikhlas.



Iblis menjawab, demi kekuasaan Engkau, aku akan sesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis di antara mereka." (Shaad: 82-83)

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, Kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas". (Al Hijr: 39–40) 

Di dalam Mikhtashar Minhaj al Qosidhin disebut satu riwayat sebuah kisah, ada satu pokok yang sering disembah oleh penduduk kampung. Maka ada seorang lelaki mengatakan,”Aku akan tebang pokok itu yang telah menyebabkan ramai manusia menjadi syirik”. Lelaki itu pun mengambil kapak dan pergi ke pokok tersebut untuk menebangnya. 

Syaitan yang menyerupai manusia menunggu di pokok itu dan berkata,”Apa yang kau ingin lakukan ?" Lelaki itu menjawab,’Aku ingin tebang pokok ini. Ramai telah syirik kerana menyembah pokok ini". Syaitan itu berkata, "Aku akan menghalang kamu. Kamu perlu mengalahkan aku untuk menebang pokok ini". Lalu terjadilah pergelutan dan lelaki itu berjaya mencekik syaitan yang menyerupai manusia itu. Syaitan berkata, "Aku mengaku kalah dan kau boleh tebang pokok ini. Tetapi dengar dulu cadangan aku. Kau tidak akan dapat apa-apa faedah pun jika kau tebang pokok ini. Orang kampung akan cari pokok lain untuk mereka sembah. Jika kau setuju untuk tidak tebang pokok ini, aku akan berikan dua dinar di bawah bantal kau pada setiap pagi." Lelaki itu bersetuju dengan tawaran tersebut. 

Pada keesokan harinya dia mendapati ada dua dinar dari bawah bantalnya. Kemudian pada esok harinya lagi dia tengok tidak ada dua dinar seperti yang dijanjikan. Lelaki itu merasa marah lalu mengambil kapak dan pergi untuk tebang pokok itu. Setiba di pokok itu, syaitan telah sedia menunggu. ”Apa yang kau ingin lakukan ?". Lelaki itu menjawab,’Aku nak tebang pokok ini. Hari ini tidak ada 2 dinar seperti yang kau janjikan. Kau telah tipu aku". Syaitan itu berkata, "Aku akan menghalang kamu. Kamu perlu mengalahkan aku untuk tebang pokok ini". 

Lalu terjadilah pergelutan dan kali ini lelaki itu kalah, syaitan telah berjaya mencekik lelaki itu" Syaitan berkata,”Tahukah kamu siapa aku?" Syaitan memberitahu dia sebenarnya adalah syaitan". Lelaki itu bertanya, mengapa hari itu aku dapat kalahkan kau tetapi kali ini aku tidak dapat kalahkan kau?" Syaitan menjawab, "Kali pertama kau datang, niat kau ikhlas semata-mata kerana Allah sehingga aku tidak berdaya mengalahkan kau. Tetapi kali ini kau datang kerana kau marah tidak dapat dua dinar dan apabila kau tidak ikhlas kerana Allah maka aku berjaya mengalahkan kau".

Memaafkan



"Tidaklah sedekah itu mengurangi harta, dan tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan sifat memaafkan kecuali kemuliaan, serta tidaklah seorang hamba merendahkan diri karena Allah melainkan Allah meninggikan darjatnya". (HR. Muslim)

Nabi s.a.w bersabda, "Orang yang paling sabar diantara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya." (Riwayat Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)

Nabi bersabda, "Tidaklah seorang itu suka memaafkan, melainkan dia akan semakin mulia." [HR. Muslim]

Allah berfirman, ”Dan bersegeralah kamu kepada ampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya di waktu senang maupun di waktu sempit, dan orang-orang yang menahan marah dan memaafkan kesalahan orang. Allah suka kepada orang yang berbuat kebajikan.” (Ali Imran : 133-134)

Nabi yang pernah bersabda: "Dilaporkan kepada Allah semua perbuatan manusia pada setiap hari khamis dan Isnin, lalu Allah 'Azza Wa Jalla mengampuninya pada hari itu juga, diampunkan setiap orang yang tidak syirik (menyengutukan) sesuatu dengan-Nya, kecuali sesiapa yang sedang bermusuhan, iaitu Allah berfirman untuknya: Tinggalkanlah (jangan dihapus dosa) kedua dua (orang yang bersengketa) ini, sehingga mereka berdua berdamai , tinggalkanlah (jangan dihapus dosa) kedua dua (orang yang bersengketa) ini, sehingga mereka berdua berdamai." (HR Muslim)

"Dan jika kalian memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha penyayang". (At Taghobun: 14)

"Dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu ? Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani". (al-Nuur: 22)

07 September 2012

Hukum Mencium Jenazah

Menziarahi orang meninggal merupakan satu amalan yang sangat baik kerana terdapat banyak faedahnya; antaranya mengucapkan takziah kepada keluarga si mati, menunjukkan rasa simpati terhadap keluarganya dan menggalakkan amalan tolong-menolong ketika dalam suasana sedih dan musibah. Di samping itu, ianya juga boleh mengingatkan kita kepada kematian. Dalam suasana sibuk menguruskan pengendalian jenazah, seringkali juga terdengar para ahli keluarga, samada yang tua atau yang muda, dipanggil untuk mencium jenazah buat kali terakhir. Maka sebilangan mereka pernah bertanya apakah hukum perbuatan ini?


Mencium jenazah boleh dirujuk kepada perbuatan Rasulullah s.a.w sendiri dan juga perbuatan seorang sahabat dan khalifah, iaitu Sayyidina Abu Bakar r.a. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a bahawa baginda s.a.w mencium jenazah Utsman bin Mazh‘un, iaitu saudara sesusuan baginda.

“Bahawa Rasulullah s.a.w mencium Utsman bin Mazh‘un dan dia (ketika) itu sudah meninggal dunia dan baginda menangis, atau katanya (Abdur Rahman): Bahawa kedua-dua mata baginda menitiskan air mata.” (Hadith riwayat Tirmidzi)

Sementara perbuatan Sayyidina Abu Bakar r.a pula, sepertimana riwayat dari Aisyah r.a, beliau mencium wajah Nabi s.a.w setelah Baginda wafat.

“Bahawa Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu telah mencium (kawasan) antara kedua-dua mata Nabi s.a.w, dan baginda (ketika itu) telah wafat.” (Hadith riwayat al-Baihaqi dan an-Nasa’ie)

Adapun perbuatan Abu Bakar r.a tersebut tidak diingkari oleh sahabat yang lain pada ketika itu.


Hukum Mencium Jenazah

Hukum asal mencium jenazah adalah harus. Perkara ini sabit sepertimana dalam dua riwayat yang telah dibawakan di atas. Oleh itu adalah harus hukumnya bagi ahli keluarga si mati dan selain mereka, umpamanya sahabat-sahabat, termasuklah juga suami atau isteri dan mahram kepada si mati, mencium wajah jenazah tersebut.

Walau bagaimanapun ulama’ berbeza pendapat mengenai hukum mencium jenazah seperti mana berikut:

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah berpendapat hukumnya adalah harus, sejajar dengan apa yang disebutkan dalam nash kitab fiqh. Manakala hukum sunat itu hanyalah untuk jenazah orang yang soleh. Maka adalah sunat, sama ada bagi ahli keluarga, sahabat dan yang lainnya, untuk mencium jenazah orang soleh itu kerana untuk mendapatkan keberkatan daripadanya. Berbeza pula hukumnya apabila jenazah tersebut bukan terdiri daripada ahli keluarga dan bukan sahabat ataupun bukan orang soleh, maka hukumnya adalah menyalahi yang utama (khilaf al-awla). Menurut Imam ar-Ramli, Khatib asy-Syarbini dan juga merupakan pendapat as-Subki Rahimahumullah, berdasarkan kepada dua hadith di atas, iaitu Rasulullah s.a.w mencium wajah saudara sesusuan baginda dan Sayyidina Abu Bakar r.a mencium wajah sahabat yang juga bapa mertua beliau, iaitu Rasulullah s.a.w, mereka berpendapat hukumnya adalah sunat bagi ahli keluarga si mati dan sahabat-sahabatnya mencium jenazah (walaupun si mati bukan orang soleh), manakala hukum harus itu adalah untuk selain daripada mereka ini. Telah disebutkan pendapat dalam Zawa’id ar-Raudhah bahawa tidak mengapa mencium wajah jenazah jika dia adalah orang soleh. Jika dia bukan orang soleh, maka seperti hukum asalnya, adalah harus. Adapun jika dia bukan orang soleh dan diketahui bahawa si mati itu orang yang melakukan maksiat, maka hukumnya adalah makruh.

Selain itu antara perkara yang perlu diambil perhatian oleh orang yang bercadang atau disuruh untuk mencium jenazah ialah:

Jika sekiranya dia bukan terdiri daripada ahli keluarga si mati atau mahramnya, maka hendaklah antara orang yang hidup dengan si mati tersebut dari jantina yang sama. Maka tidak boleh perbuatan ini dilakukan antara perempuan dengan lelaki ajnabi dan sebaliknya. Janganlah perbuatannya (orang yang hidup) mencium jenazah itu akan mengakibatkan hilang maruah ataupun merendahkannya.

Di samping itu perlu juga diketahui bahawa kesemua hukum mencium jenazah yang telah disebutkan di atas adalah bagi mereka yang tidak mudah tersentuh perasaan dan boleh mengawalnya. Adapun jika sebaliknya, iaitu jika perbuatan mencium jenazah itu boleh menyebabkan timbulnya perasaan dukacita dan kesedihan yang keterlaluan dan seterusnya tidak dapat mengawalnya, sepertimana kebiasaan halnya bagi kaum perempuan, maka pada ketika itu adalah haram hukumnya mencium jenazah tersebut.

Ini kerana, perbuatan menangis dengan suara yang kuat atau meratap walaupun tanpa air mata adalah haram dan jelas dilarang dalam Islam sepertimana yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Athiyyah r.a:

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melarang kami daripada perbuatan meratap.” (Hadith riwayat Abu Daud)

Manakala dalam sebuah hadith daripada Buraidah r.a Rasulullah s.a.w bersabda:

“Tidak termasuk di dalam golongan kami orang yang memukul-mukul pipinya, mengoyak-ngoyak koceknya, berteriak-teriak seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Adapun sedih atau mengalirkan airmata secara tabi’e kerana kesedihan, tersentuh hati dan keinsafan tanpa diiringi ratapan adalah harus dan tidaklah dilarang. Kerana kesemua itu boleh menyedarkan kita akan hakikat kematian yang boleh membawa kepada keinsafan. Buktinya Nabi s.a.w juga mempamerkan kesedihan baginda serta mengalirkan air mata ketika anaknya Ibrahim meninggal dunia. Menurut riwayat Anas bin Malik r.a bahawa sebelum Ibrahim menghembuskan nafasnya (yang terakhir) dengan tenang, sambil menitiskan air mata baginda bersabda:

“Sesungguhnya mata ini menitiskan air mata dan hati ini bersedih, (namun) kami tidak akan mengatakan kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan kami. Dan sesungguhnya kami merasa sedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim.” (Hadith riwayat Bukhari)


Bahagian Anggota Jenazah Yang Dicium

Jika dilihat pada nas yang dibawakan dalam kitab fiqh, secara umumnya mengatakan bahawa harus hukumnya mencium wajah jenazah. Demikianlah juga yang diriwayatkan dalam hadith bahawa Rasulullah s.a.w mencium wajah jenazah saudara susuan baginda. Di samping itu, ada beberapa pendapat yang lain, antaranya:

Telah disebutkan dalam riwayat Aisyah r.a di atas bahawa kawasan atau tempat yang dicium oleh Sayyidina Abu Bakar r.a ialah pada kawasan antara kedua-dua mata baginda s.a.w. Pendapat yang mengatakan bahawa mencium kawasan tempat sujud (dahi) adalah awla (lebih utama) dan sebaiknya dilakukan tanpa ada lapik. Pendapat yang mengatakan bahawa harus mencium anggota badan jenazah seperti tangan dan selainnya selama mana tidak menimbulkan syahwat.

Namun dalam hal ini adalah dibataskan kepada bahagian wajah sahaja kerana itulah yang warid. Ini memandangkan antara sebab untuk mencium jenazah adalah kerana untuk mendapat keberkatan, atau kerana rasa kasih atau kerana kasihan ke atasnya.

Di samping itu disunatkan menutup wajah jenazah dan tidak membiarkannya terdedah. Daripada Abu Salmah bahawa Aisyah r.a berkata kepadanya:

“(Ketika mendengar berita kewafatan Nabi s.a.w), maka Abu Bakar r.a datang dari rumahnya di Sunh dengan berkenderaan kuda. Sesampainya di pintu masjid, dia pun turun dan segera masuk ke rumah Aisyah tanpa bercakap-cakap dengan seorang pun yang ada dalam masjid sehinggalah dia menemui Aisyah. (Kemudian) dia menuju kepada (jenazah) Rasulullah s.a.w yang telah diselimuti dengan sehelai jubah hibarah (iaitu sejenis jubah atau pakaian Yaman bercorak jalur yang diperbuat daripada ‘cotton’ atau ‘linen’). Setelah itu dia membuka (kain) di bahagian wajah baginda, lalu Abu Bakar r.a pun menurunkan kepalanya dan mencium (kening) Rasulullah s.a.w seraya menangis.” (Hadith riwayat an-Nasa’ie)


Batalkah Wudhu’ Apabila Mencium Jenazah?

Jika kita memperkatakan tentang hukum wudhu’ bagi jenazah tersebut, maka perbuatan ini tidak membatalkan wudhu’nya. Adapun hukum wudhu’ bagi orang yang hidup (yang menyentuh jenazah tersebut), maka perlu diperhatikan apakah dia mahram kepada jenazah tersebut ataupun tidak. Kerana antara perkara yang membatalkan wudhu’ itu ialah bersentuhan kulit seorang lelaki dengan perempuan ajnabiyah (bukan mahram) tanpa berlapik (antara keduanya).

Menurut jumhur (majoriti) ulama’, hukum memegang atau menyentuh mayat perempuan atau lelaki yang ajnabi (bukan mahram) adalah membatalkan wudhu’. Ini berdasarkan kepada hukum sentuhan antara kedua mereka (perempuan dan lelaki yang ajnabi) pada ketika hidup adalah membatalkan wudhu’. Berbeza dengan mahram, iaitu perempuan yang haram dinikahi samada mahram secara nasab keturunan atau sesusuan atau perkahwinan, maka persentuhan kulit antara lelaki dengan perempuan yang merupakan mahramnya tidak membatalkan wudhu’. Maka begitulah juga hukum bagi mereka yang sama jantina.

Sebagai kesimpulan, hukum mencium jenazah itu asalnya adalah harus, bahkan sunat jika si mati adalah terdiri daripada golongan orang soleh. Namun perlu diingat bahawa keharusan itu boleh berubah kepada haram, iaitu jika perbuatan mencium jenazah itu boleh membuat seseorang itu hilang kesabaran dan kawalan kerana terlalu sedih atau dukacita dan sehingga membawa kepada ratapan atau tangisan yang kuat.

Di samping itu, perlu juga diambil kira bahawa hukum harus atau sunat tadi adalah bagi ahli keluarga, mahram dan mereka yang sama jantina dengan si mati. Maka tidak boleh perbuatan ini dilakukan oleh lelaki dan perempuan yang ajnabi. Adapun sebagai pilihan lain, maka bolehlah mengucapkan takziah kepada ahli keluarga si mati dan mendoakannya.

05 September 2012

Sifat-Sifat Isteri Yang Dijanjikan Syurga



Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka. (al-Nisa’: 34)Dalam ayat ini Allah menghimpun beberapa sifat yang wajib ada pada seorang wanita solehah, antaranya adalah taat kepada Allah swt dan kepada suaminya dalam perkara yang makruf (perkara baik) lagi memelihara dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.

Al-Sheikh Abdul Rahman bin Nashir As-Sa’di r.h. berkata: “Tugas seorang isteri adalah menunaikan ketaatan kepada Allah dan taat kepada suaminya, kerana itulah Allah berfirman:Wanita solehah adalah yang taat, iaitu taat kepada Allah SWT, lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada di rumah atau di sampingnya”. Iaitu taat kepada suami mereka bahkan ketika suaminya tidak ada, dia menjaga suaminya dengan menjaga dirinya dan harta suaminya.(Taisir, hal. 177)

Ketika Rasulullah menghadapi permasalahan dengan isteri-isterinya sampai beliau bersumpah tidak akan mencampuri mereka selama sebulan, Allah SWT menyatakan kepada baginda SAW dengan firman yang bermaksud:Jika sampai Nabi menceraikan kalian, mudah-mudahan Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kalian, muslimat, mukminat, qanitat (taat kepada Allah), taibat (sentiasa bertaubat), ‘abidat (sering beribadat), saihat (kerap berpuasa) dari kalangan janda ataupun gadis. (at-Tahrim: 5) [Al-Jami' li Ahkamil Quran, 18/126-127, Tafsir Ibnu Katsir, 8/132]

Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau sukai”. (riwayat Ahmad 1/191, Shahihul Jami’ no. 660, 661)

Berdasarkan dalil-dalil tersebut, dapat kita simpulkan bahawa sifat isteri yang solehah adalah sebagai berikut:

1. Mentauhidkan Allah dengan mengabdikan diri hanya kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatupun.

2. Tunduk kepada perintah Allah, terus menerus dalam ketaatan kepada-Nya dengan banyak melakukan ibadah seperti solat, puasa, bersedekah dan selainnya.

3. Menjauhi segala perkara yang dilarang dan menjauhi sifat-sifat yang rendah yang boleh menghakis sifat-sifat mulia.

4. Selalu bertaubat kepada Allah hingga lisannya sentiasa dipenuhi istighfar dan zikir kepada-Nya. Sebaliknya ia jauh dari perkataan yang sia-sia, tidak bermanfaat dan membawa dosa seperti dusta dan lainnya.

5. Menaati suami dalam perkara kebaikan bukan dalam bermaksiat kepada Allah dan melaksanakan hak-hak suami sebaik-baiknya.

6. Menjaga dirinya ketika suami tidak berada di sisinya. Ia menjaga kehormatannya dari tangan yang hendak menyentuh, dari mata yang hendak melihat, atau dari telinga yang hendak mendengar.

Demikian juga menjaga anak-anak, rumah, dan harta suaminya.

Sifat isteri solehah lainnya boleh diperincikan berikut:

1. Penuh kasih sayang, selalu kembali kepada suaminya dan mencari maafnya. Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah aku beritahukan kepada kalian, isteri-isteri kamu yang menjadi penghuni syurga ialah isteri yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata: “Aku tak dapat tidur sebelum engkau reda”. (riwayat al-Nasai dalamIsyratun Nisa no. 257.)

2. Melayani suaminya (berkhidmat kepada suami) seperti menyiapkan makan minumnya, tempat tidur, pakaian dan seumpamanya.

3. Menjaga rahsia-rahsia suami, lebih-lebih yang berkenaan dengan hubungan intim antara dia dan suaminya.
Asma’ bintu Yazid r.ha menceritakan dia pernah berada di sisi Rasulullah. Ketika itu kaum lelaki dan wanita sedang duduk. Baginda bertanya: “Barangkali antara kalian ada suami yang menceritakan apa yang diperbuatnya dengan isterinya (hubungan suami isteri), dan barangkali ada isteri yang memberitahu apa yang diperbuatnya bersama suaminya?” Maka mereka semua diam tidak ada yang menjawab. Aku (Asma) pun menjawab: “Demi Allah! Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka (para isteri) benar-benar melakukannya, demikian pula mereka (para suami)”.

Baginda bersabda bermaksud: “Jangan lagi kalian lakukan, kerana yang demikian itu seperti syaitan jantan yang bertemu dengan syaitan betina di jalan, kemudian digaulinya sementara manusia menontonnya”. (riwayat Ahmad 6/456)

4. Selalu berpenampilan yang bagus dan menarik di hadapan suaminya sehingga bila suaminya memandang akan menyenangkannya.

5. Ketika suaminya sedang berada di rumah, ia tidak menyibukkan dirinya dengan melakukan ibadah sunnah yang dapat menghalangi suaminya untukistimta’ (bernikmat-nikmat) dengannya seperti puasa, terkecuali bila suaminya mengizinkan.

6. Pandai mensyukuri pemberian dan kebaikan suami, tidak melupakan kebaikannya.

7. Bersegera memenuhi ajakan suami memenuhi hasratnya, tidak menolaknya tanpa alasan yang syarie, dan tidak menjauhi tempat tidur suaminya, kerana ia tahu dan takut terhadap berita Rasulullah SAW yang bermaksud: Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu si isteri menolak ajakan suaminya (enggan) melainkan Allah SWT murka terhadapnya hingga si suami reda padanya. (riwayat Muslim no. 1436)