04 November 2012

Iblis Ketua Sekalian Malaikat Sebelum Ingkar


Sesungguhnya iblis itu telah Allah Laknat

Nabi saw menyoal Iblis: “Hai Iblis! Mengapakah engkau suka bersusah payah dan berpenat lelah pada pekerjaan yang tiada memberi apa-apa faedah pada dirimu. Bahkan menambahkan laknat atas dirimu yang akan menimpa atasmu sebesar-besar seksa di dalam neraka yang terbawah sekali?” Kata Nabi lagi: “Siapakah yang menghidupkan engkau, siapakah yang menjadikan engkau, siapakah yang menerangkan mata engkau, siapakah yang memberi pendengaran engkau, siapakah yang menguatkan anggota engkau.”

Jawab Iblis: “Adalah semua pemberian itu dari anugerah Allah swt, akan tetapi hawa nafsu, takabur, khianat telah membuat diriku membuat sebesar-besar dosa. Tuan hamba juga tahu terlebih dahulu bahawa hamba ini telah beribu-ribu tahun menjadi ketua sekalian malaikat, berbuat ibadat sujud kepada Allah swt dalam dunia ini dan pangkat hamba pun dinaikkan dari satu langit ke satu langit dengan aman, kemudian hamba pun diam di dalam dunia ini berbuat ibadat bersama sekalian malaikat berkhidmat kepada Allah swt kepada hamba sekalian bahawa hendak dijadikan seorang khalifah (Raja) di dalam dunia ini, maka hamba pun membantah dan tidak suka khalifah atau beraja.   
  
Kemudian Allah swt menjadikan seorang lelaki, iaitu Adam as, maka dititahkan hamba sekalian malaikat memberi hormat kepadanya, hanya hamba seorang saja yang enggan sujud kepadanya, maka hamba pun kena murka Allah swt lalu dihalau hamba serta dilaknat hingga hari kiamat. Dengan sebab itulah muka hamba yang bercahaya dan cantik itu telah terhapus dan menjadi hodoh dan keji, maka sakitlah hati hamba dan sentiasalah hamba menaruh dendam kepadanya.

Kemudian Adam pun diangkat menjadi khalifah di dalam syurga serta dikurniakan seorang isteri yang bernama Siti Hawa dan dijadikan permaisuri yang memerintah sekalian Bidadari maka sentiasalah ia dalam keseronokan dan kesenangan.

Dengan itu bertambah-tambah lagi dendam dan dengki hamba kepadanya. Dengan tipu helah hamba akhirnya dapatlah hamba menipunya melalui Siti Hawa dengan memberi bentuk nasihat supaya memakan buah yang dilarang oleh Allah swt.

No comments: