23 August 2010

Fakta Atau Auta ?

1. Tahukah anda?..Apabila kita membuang air kecil, badan kita akan menjadi sejuk kerana telah melepaskan haba melalui bahan kumuh. Jika kita men’gencing’ orang lain, maka haba akan terlepas dari badan orang itu lalu kita akan dilempang olehnya.

2. Percayakah anda?..Wanita mengelipkan mata dua kali lebih kerap daripada lelaki dan jantung wanita juga berdegup lebih laju berbanding jantung lelaki. Tapi percayakah juga anda bahawa, lelaki selalu ada dua mata air dan jantung mereka juga berdegup dengan lebih laju jika diketahui oleh isteri.

3. Terdapat kira-kira 3,000 spesis pokok dalam setiap kawasan seluas 1.6 km persegi di hutan Amazon dimana jika seseorang bernama Amran memasuki kawasan itu, beliau berkemungkinan akan tersesat selama 3,000 jam jika tidak membawa kompas.

4. Uri Geller, ahli psikik terkenal yang dilahirkan pada 20 Disember 1946, mengatakan bahawa kebolehan luar biasa yang dimilikinya itu berasal dari planet Hoova dan kadangkala dia juga memekik sambil mengatakan yang dia adalah seorang Ultraman!.

5. Tahukah anda?..Manusia hanya menggunakan 10% daripada otaknya. Tetapi ini tidak bermakna baki 90% lagi perlu dibuang kerana jika dibuang sudah terbuktilah manusia itu dari jenis yang tidak ada otak!!.

6. Apabila marah, Tasmanian Devil (sejenis haiwan yang hidup di pulau Tasmanian, selatan Australia) akan bertukar warna menjadi kemerah-merahan. Bila Makcik Leha marah, wajahnya juga akan bertukar menjadi kemerah-merahan padahal mereka bukanlah dari spesies yang sama.

7. Gelas kaca pecah dengan kelajuan 4,827 km/j. Pecah Kaca, Pecah Gelas, Sudah Baca Harap Balas pula ialah ayat yang selalu diguna oleh budak-budak sekolah ketika bercinta.

8. Tahukah anda?..Otak kita mengandungi 80% air. Walaubagaimanapun..seseorang yang sudah lama tidak membuat hubungan kelamin bersama isteri akan mengalami satu sindrom yang berkaitan otak iaitu sindrom ‘masuk air’.

9. Tahukah anda?..Belang yg kita lihat pada harimau bukan sekadar pada bulunya tapi pada kulitnya. Belang pada lelaki berhidung belang pula bukan sekadar pada hidungnya, tapi juga pada bulu hidungnya.

10. Tidak ada satu pun perkataan yang bermula dengan huruf 'W' dalam bahasa Sepanyol. Sementara itu, hanya terdapat 12 huruf dalam bahasa Hawaii iaitu A,E,H,I,K,L,M,N,O,P,U dan W. Untuk pengetahuan juga, didalam Bahasa Inggeris dan Melayu mesti menggunakan ke semua huruf dari A-Z kecuali yang buta huruf kerana mereka tidak tahu membaca.

11. Hanya ada empat perkataan sahaja dalam bahasa Inggeris yang berakhir dengan bunyi-'dous' iaitu tremendous, horrendous, stupendous dan hazardous. Ini membuatkan seseorang yang bernama Fidaus berasa bangga sekejap.

12. Tahukah anda?..Di negara Norway, terdapat sebuah tempat di panggil Hell (neraka) manakala kalau kita berbuat jahat selalu, tempat yang kita akan pergi juga bernama Hell.

13. Menurut kajian ahli sains, secara puratanya, kita akan berhenti bercakap setiap tujuh minit. Tetapi menurut seorang ahli sains yang lain yang bisu sejak lahir, secara puratanya, dia tidak boleh langsung bercakap seumur hidupnya.

14. Siapakah Thomas Mapother?? Lelaki itu adalah pelakon tampan, Tom Cruise, sebelum dia menukar namanya. Siapakah pula Latiff Sufian?? Lelaki itu pula ialah cuma seorang tukang kebun di Sekolah Rendah Kampung Kerinchi.

15. Untuk mengekalkan suhu sejuk, burung unta akan mengencingkan kakinya sendiri supaya ia akan berasa sejuk apabila air itu menyejat. Anda juga boleh berbuat demikian jika hendak berbau hancing.

16. Dipetik dari kenyataan sebuah majalah, tembakau membunuh lebih ramai rakyat Amerika (seramai 450,000 orang) setiap tahun berbanding alkohol, kokain, heroin, homisid, bunuh diri, kemalangan kereta, kebakaran dan AIDS. Untuk menyembunyikan rasa takut dikalangan orang-orang kaya pula, majalah tersebut tidak berani untuk mengatakan bahawa tembikar yang di beli dengan harga yang mahal juga mampu membunuh jika dihentak dikepala dengan kadar yang kuat.

17. Tomato dan Timun adalah buah-buahan ya, bukan sayur. Taugeh dan Sawi pula ialah nama samaran pelukis majalah kartun Ujang ya, bukan Utopia.

18. Agensi keselamatan antarabangsa mengatakan jangan takut untuk menaiki kapal terbang kerana ia merupakan alat pengangkutan yang paling selamat. Ia jauh lebih selamat berbanding motosikal, bas, kereta api dan kereta. Akan tetapi agensi itu mungkin terlupa akibat jikalau kapal terbang itu terhempas ke atas jalanraya dan menimpa semua orang yang menaiki kenderaan yang disebut tadi adalah kebarangkaliannya akan hancur lebur.

19. Jangan terkejut, kalau diceraikan satu per satu dan kemudian disusun semula, seluruh batu yang terdapat pada Tembok Besar China, cukup untuk mengelilingi bumi pada garisan khatulistiwa dengan ketinggian 2.5 meter dan jangan terkejut dengan penceraian artis-artis tempatan kerana itu semua publisiti murahan yang dapat menaikan populariti pada carta bintang paling popular.

20. Mengikut fakta, sebelum era Masihi, terdapat satu perkidmatan 'pos laju' menggunakan kuda di Parsi. Posmennya akan memakai pengikat kepala dan menghantar surat tersebut merentasi Asia, beratus-ratus km tanpa henti. Mengikut akta pula, seorang Posmen yang menaiki EX5 merah dari Pos Malaysia, jika selalu berhenti-henti minum kopi di kedai mamak boleh diberhentikan kerja serta-merta.

21. Dianggarkan sel kulit yang mati yang hilang sepanjang hayat kita cukup untuk mengisi lapan beg tepung seberat tiga kilogram dan tepung itu kalau di buat roti canai, rasanya amat lazat jika dimakan bersama-sama dengan kari kepala ikan.

22. Ini adalah benar, ngauman seekor singa mampu didengari sejauh 3 km kecuali orang yang pekak walaupun dia hanya berada 3 cm sahaja dari singa tersebut.

23. Permukaan bumi adalah seluas 153,295,000 km persegi manakala orang yang jauh perjalanannya sewaktu berkelana seperti Azroy dari filem Gila-Gila Remaja pula hanya mendapat luas permandangan memandangkan dia hanya mengelilingi Kuala Lumpur sahaja.

22 August 2010

Jadikan PTPTN pilihan terakhir

Kepada bakal mahasiswa, pastinya anda tiada pilihan kerana di dalam banyak-banyak sumber pinjaman, pegawai PTPTN akan menjadi orang pertama yang akan datang ke universiti anda menjengah muka kononnya bakal menjadi penyelamat bagi menampung semua kos pegajian anda.

Lalu, bagi mereka yang terdesak dan tidak mahu menanggung risiko, pastinya terus menandatangani perjanjian tanpa sedikit pun membaca isinya serta memikirkan kesan jangka panjangnya.

Nasihat saya kepada bakal mahasiswa, jika anda ada sumber pinjaman lain, sebaiknya janganlah anda terjerat dengan meminjam pinjaman PTPTN. Kesan jangka panjang dengan menjadi hamba kos petadbiran PTPTN akan anda rasai nanti setelah anda selesai menamatkan pegajian.

Untuk pengetahuan anda, PTPTN tidak akan melayan dan memahami anda ketika anda memasuki babak mencari kerja. PTPTN bukan tidak tahu selepas anda habis pengajian, anda belum tentu mendapat pekerjaan tetap atau menganggur.

Kadang-kadang ada dikalangan graduan sehingga 2 hingga 3 tahun, menganggur dan gagal melunaskan bayaran balik pinjaman. PTPTN tetap tidak akan melayan anda walaupun anda menghantar surat rayuan memohon jasa baik mereka memberi sedikit masa kepada anda mendapatkan pekerjaan dan mampu membayar balik. Bagi mereka, pinjaman adalah pinjaman dan wajib dibayar.

Setelah anda masuk di dalam babak sedang bekerja sekali pun, PTPTN tidak mahu mendengar penjelasan anda bahawa gaji anda layak untuk anda hidup sebagai golongan miskin tegar sahaja.

Apa tidaknya semakin hari kos hidup semakin meningkat. Bagi PTPTN, anda ada gaji dan boleh bayar hutang. PTPTN tidak akan melayan anda jika anda menghantar surat rayuan memohon agar menerima jumlah bayaran tetap sebanyak RM100 setiap bulan sementara ekonomi anda sudah cukup stabil bagi mengikut kadar bayaran yang ditetapkan oleh PTPTN.

PTPTN bukan sahaja tidak melayan, malah wang RM100 sebulan itu cukup menampung kos petadbirannya sahaja. Apabila anda menyemak penyata tiap-tiap bulan, bukan sahaja jumlah pokok pinjaman anda tidak bergerak, malah jumlah baki pinjaman anda sentiasa bertambah dari bulan ke bulan. Moral anda sebagai pembayar setia pasti jatuh dan kecewa serta behasrat menulis luahan hati kepada Utusan Malaysia.

Babak menerima surat peringatan PTPTN adalah babak paling menyedihkan. Setiap bulan jika anda seorang pembayar setia, pastinya kehadiran surat ini bagaikan surat kekasih memohon memutus cinta.

Rasa kecewa pasti tergambar kerana anda tidak pernah lupa dan mengabaikan pembayaran. PTPTN tetap mahu anda membayar jumlah pokoknya kerana bayaran anda sebelum ini hanya mampu menampung kos petadbirannya sahaja. Ancaman mendakwa anda jika gagal melunaskan dalam masa 14 hari adalah ugutan yang paling menyentuh jiwa. Difikiran anda pasti terkenang dan berkata “mujur aku bayar dan tidak lari, itupun PTPTN masih tidak menghargai”.

Inilah antara kesan jangka panjang yang akan anda rasai jika anda adalah seorang peminjam PTPTN. Adalah lebih baik, anda mohon satu pinjaman peribadi dan bayar keseluruhan jumlah pinjaman PTPTN anda kerana pinjaman peribadi memberi kadar faedah tahunan dan bukan kadar faedah bulanan 3 peratus sebulan yang dilakukan oleh PTPTN.

Sebaiknya, sebagai bakal mahasiswa, jika anda ada sumber pinjaman lain, gunakanlah sumber pinjaman itu dan elakkanlah meminjam dengan PTPTN.

Source : http://malaysiakini.com/letters/140499