Kepada bakal mahasiswa, pastinya anda tiada pilihan kerana di dalam banyak-banyak sumber pinjaman, pegawai PTPTN akan menjadi orang pertama yang akan datang ke universiti anda menjengah muka kononnya bakal menjadi penyelamat bagi menampung semua kos pegajian anda.
Lalu, bagi mereka yang terdesak dan tidak mahu menanggung risiko, pastinya terus menandatangani perjanjian tanpa sedikit pun membaca isinya serta memikirkan kesan jangka panjangnya.
Nasihat saya kepada bakal mahasiswa, jika anda ada sumber pinjaman lain, sebaiknya janganlah anda terjerat dengan meminjam pinjaman PTPTN. Kesan jangka panjang dengan menjadi hamba kos petadbiran PTPTN akan anda rasai nanti setelah anda selesai menamatkan pegajian.
Untuk pengetahuan anda, PTPTN tidak akan melayan dan memahami anda ketika anda memasuki babak mencari kerja. PTPTN bukan tidak tahu selepas anda habis pengajian, anda belum tentu mendapat pekerjaan tetap atau menganggur.
Kadang-kadang ada dikalangan graduan sehingga 2 hingga 3 tahun, menganggur dan gagal melunaskan bayaran balik pinjaman. PTPTN tetap tidak akan melayan anda walaupun anda menghantar surat rayuan memohon jasa baik mereka memberi sedikit masa kepada anda mendapatkan pekerjaan dan mampu membayar balik. Bagi mereka, pinjaman adalah pinjaman dan wajib dibayar.
Setelah anda masuk di dalam babak sedang bekerja sekali pun, PTPTN tidak mahu mendengar penjelasan anda bahawa gaji anda layak untuk anda hidup sebagai golongan miskin tegar sahaja.
Apa tidaknya semakin hari kos hidup semakin meningkat. Bagi PTPTN, anda ada gaji dan boleh bayar hutang. PTPTN tidak akan melayan anda jika anda menghantar surat rayuan memohon agar menerima jumlah bayaran tetap sebanyak RM100 setiap bulan sementara ekonomi anda sudah cukup stabil bagi mengikut kadar bayaran yang ditetapkan oleh PTPTN.
PTPTN bukan sahaja tidak melayan, malah wang RM100 sebulan itu cukup menampung kos petadbirannya sahaja. Apabila anda menyemak penyata tiap-tiap bulan, bukan sahaja jumlah pokok pinjaman anda tidak bergerak, malah jumlah baki pinjaman anda sentiasa bertambah dari bulan ke bulan. Moral anda sebagai pembayar setia pasti jatuh dan kecewa serta behasrat menulis luahan hati kepada Utusan Malaysia.
Babak menerima surat peringatan PTPTN adalah babak paling menyedihkan. Setiap bulan jika anda seorang pembayar setia, pastinya kehadiran surat ini bagaikan surat kekasih memohon memutus cinta.
Rasa kecewa pasti tergambar kerana anda tidak pernah lupa dan mengabaikan pembayaran. PTPTN tetap mahu anda membayar jumlah pokoknya kerana bayaran anda sebelum ini hanya mampu menampung kos petadbirannya sahaja. Ancaman mendakwa anda jika gagal melunaskan dalam masa 14 hari adalah ugutan yang paling menyentuh jiwa. Difikiran anda pasti terkenang dan berkata “mujur aku bayar dan tidak lari, itupun PTPTN masih tidak menghargai”.
Inilah antara kesan jangka panjang yang akan anda rasai jika anda adalah seorang peminjam PTPTN. Adalah lebih baik, anda mohon satu pinjaman peribadi dan bayar keseluruhan jumlah pinjaman PTPTN anda kerana pinjaman peribadi memberi kadar faedah tahunan dan bukan kadar faedah bulanan 3 peratus sebulan yang dilakukan oleh PTPTN.
Sebaiknya, sebagai bakal mahasiswa, jika anda ada sumber pinjaman lain, gunakanlah sumber pinjaman itu dan elakkanlah meminjam dengan PTPTN.
Source : http://malaysiakini.com/letters/140499
No comments:
Post a Comment