BIAR KAMU TIDAK
CANTIK DI MATA PENDUDUK BUMI TETAPI NAMAMU MENJADI PERBUALAN PENDUDUK LANGIT.
Sepertimana yang
diberitakan oleh akhbar Berita Harian, terdapat segolongan wanita yang menolak
perkahwinan. Antaranya memandang perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat
kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam menentukan hidup berubah dan
terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus rumahtangga dan anak-anak.
Justeru itu ramai
yang lebih rela jadi andartu walaupun pada hakikatnya, ianya tidak dapat
memberi kebahagiaan pada jiwa. Ada juga yang tidak berkahwin disebabkan terlalu
memilih calon yang sekufu dan ada yang tidak sempat memikirkan perkahwinan
kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas dan karier kerjanya.
Sebelum
ini saya ada memberi pandangan bagaimana hendak menyelesaikan masalah andartu.
Kali ini saya akan dedahkan pula tentang kerugian wanita yang tidak mahu
bekahwin; tetapi bukan kepada wanita yang tidak berkahwin kerana tiada jodoh.
Kalau sudah tidak ada jodoh, wanita tersebut tidak boleh dipersalahkan kerana
sudah takdir menentukan demikian. Masalahnya sekarang, terdapat wanita yang ada
peluang berkahwin tetapi menolak dengan alasan-alasan sepertimana yang saya
sebutkan di atas tadi.
Perkembangan tentang
wanita yang tidak gemar berkahwin bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat
bukan Islam tetapi juga berlaku di kalangan masyarakat Islam. Sikap demikian
bukan sahaja bertentangan dengan kehendak ajaran Islam yang menggalakkan
perkahwinan tetapi juga bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia yang
hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan sunnatullah kejadian manusia, ada lelaki
dan ada wanita yang saling memerlukan antara satu sama lain. Ibarat talian
elektrik yang memerlukan positif dan negatif untuk melahirkan cahaya.
Di Malaysia, walaupun
terdapat di dalam masyarakat Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak
begitu berleluasa seperti di barat. Sungguh pun demikian pada pandangan Islam,
orang yang tidak berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita Kristian.
Golongan ini juga tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama dan mengalami
kerugian di dunia dan di akhirat.
Kejelekan tidak
berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih banyak berbanding dengan
lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga lebih banyak bermula dan
berada di sekitar rumahtangga, suami dan anak-anak. bagi kaum wanita, untuk
mendapat maqam solehah dan menjadi ahli syurga di akhirat adalah amat mudah.
Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.
“Sekiranya seorang
wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di
bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga dari
mana-mana pintu yang ia kehendaki”.
Sekiranya seorang
wanita itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada
maqam yang keempat. Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan
menjaga maruah, wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada
mentaati suami. Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya
bagi seorang wanita, sehinggakan redha Allah s.w.t. pun bergantung kepada redha
suami.
Selain daripada itu
di antara kelebihan wanita yang berkahwin bahawa ia akan diberi pahala seperti
pahala jihad fisabilillah dikala mengandung. Apabila ia menyusukan anak maka
setiap titik air susu akan diberi satu kebajikan. Berjaga malam kerana mengurus
anak akan diberi pahala seperti membebaskan 70 orang hamba. Wanita yang
berpeluh kerana terkena bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan
dibebaskan daripada neraka. Bagi wanita yang mencuci pakaian suminya akan
diberi 1000 pahala dan diampuni 2000 dosa. Lebih istimewa lagi ialah bagi
wanita yang tinggal di rumah kerana mengurus anak-anak akan dapat tinggal
bersama-sama Rasulullah s.a.w di syurga kelak.
Bahkan wanita yang
rela dijimak oleh suami juga akan mendapat pahala dan lebih hebat lagi bagi
wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat pahala seperti pahala syahid.
Semua kelebihan-kelebihan ini tidak akan dapat diperolehi bagi wanita yang
menolak perkahwinan. Malah di dunia akan selalu berada di dalam fitnah dan di
akhirat menjadi golongan yang rugi. Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin
apabila telah menemui pasangan yang sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama
ialah dari segi iman, walaupun lelaki tersebut telah berkahwin. Sabda Rasulullah
s.a.w :
“Apabila datang
kepada kamu lelaki yang beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak
akan timbul fitnah dan kebinasaan”. Para sahabat bertanya, “Bagaimana kalau dia telah
berkahwin??” Jawab Baginda s.a.w , “Kahwinilah juga dia” (diulang sebanyak tiga
kali).
Begitulah besarnya
pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar
rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti kebanyakan wanita hari ini.
Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri dan ibu sudah memperolehi
banyak pahala. Kalau suami redha dengan perlakuan seorang isteri itu maka akan
terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini tidak akan dapat
diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan kerana dia telah menolak untuk
menjadi calon wanita solehah yang berada dibawah naungan suami.
No comments:
Post a Comment