16 April 2010

Lelaki Malaysia pilih wanita seberang isteri kedua

MEDAN: Secara purata seorang rakyat Malaysia mengahwini wanita Indonesia dari Sumatera setiap hari dalam tempoh lima bulan lalu dan 80 peratus daripada mereka mengambil isteri kedua.

Trend ini dilihat daripada rekod di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di sini yang menunjukkan bahawa dalam tempoh lima bulan itu, 30 lelaki Malaysia berkahwin wanita Indonesia dari Sumatera setiap bulan.

Konsul Muda Bahagian Konsular dan Imigresen di pejabat itu, Ismail Ali, berkata 31 pasangan berkahwin Januari lalu, Februari (29) manakala Mac (32) dan hampir semua mereka beragama Islam.

Beliau berkata, ada juga rakyat Malaysia yang mengahwini wanita Sumatera tetapi dipercayai tidak mendaftar di bahagian itu kerana mereka gagal mendapat izin untuk berpoligami atau izin berkahwin di luar negara dari Mahkamah Syariah dan Jabatan Agama Islam negeri asal masing-masing.

Rakyat Malaysia perlu mendapat surat pengesahan warga negara dari Bahagian Konsular di sini sebelum mereka dibenarkan menikahi wanita Indonesia di Sumatera.

Sebelum datang ke Sumatera, seseorang lelaki harus mendapat surat izin berkahwin di luar negara, sijil kursus perkahwinan, surat status bujang, berkahwin atau duda dan janda serta surat izin berpoligami bagi yang masih beristeri, daripada pihak berkuasa agama Islam di negeri asal mereka.

Ismail berkata, pasangan yang berkahwin itu bertemu jodoh di Malaysia dan wanita Indonesia pilihan lelaki Malaysia biasanya bekerja sebagai pembantu rumah atau di sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan seperti pencuci.
"Ramai calon isteri mereka adalah janda yang sudah beranak dan wanita ini berkahwin kerana faktor jaminan hidup di Malaysia," katanya.

Majlis perkahwinan mereka diadakan di Sumatera atas permintaan pengantin perempuan untuk restu daripada wali dan selepas berkahwin isteri mereka dibawa pulang ke Malaysia. Mengikut Peraturan Imigresen 1959/63 di bawah kemudahan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang, isteri warga negara asing kepada suami warga negara Malaysia layak tinggal di Malaysia untuk tempoh enam bulan pertama dan selepas itu boleh disambung untuk tempoh 12 bulan setiap tahun sehingga lima tahun.

Selepas lima tahun, isteri itu layak memohon menjadi penduduk tetap Malaysia manakala anak pasangan berkenaan automatik menjadi warga negara Malaysia.

Apa yang menyedihkan, kata Ismail, ialah ada rakyat Malaysia sanggup menceraikan isteri warga negara Malaysia untuk menikahi wanita warga negara asing.

“Ada juga lelaki Malaysia berkahwin kali kedua kerana kematian isteri pertama," katanya.

Perkahwinan rakyat Malaysia bukan Islam dengan wanita Indonesia di Sumatera pula sangat kurang. Sebagai contoh, pada Mac, hanya dua pasangan bukan Islam berkahwin.

Bagi bukan Islam, mereka perlu mendapat surat kebenaran daripada Jabatan Pendaftaran Negara untuk berkahwin di luar negara. - Bernama

P/S : Agak-agak apa rumusan yang boleh dibuat dari berita di atas?

No comments: