Ketika hamil, anda mudah berasa letih. Tambahan pula, daya tahan tubuh
semakin berkurangan. Ikuti ulasan lanjut, doktor pakar sakit puan dan
perbidanan dari Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr Balakrishnan Subramaniam.
Di awal usia kandungan, anda masih boleh melakukan perjalanan dalam jarak perjalanan yang jauh. Namun, tidak bagi anda yang mengalami komplikasi kehamilan seperti pendarahan, muntah yang teruk ataupun pernah mempunyai sejarah keguguran di kehamilan terdahulu.Sama juga halnya dengan anda yang hamil lebih daripada 34 minggu.
Anda tidak digalakkan berjalan jauh terutamanya perjalanan yang
mengambil masa berjam-jam untuk sampai ke destinasi yang dituju. Apatah
lagi jika laluan yang digunakan tidak rata.Ketahuilah, perjalanan jarak
jauh yang dilakukan pada akhir usia kandungan, mendedahkan anda kepada
risiko kelahiran pramatang. Sehubungan itu, wanita hamil yang kerap
melakukan perjalanan jarak jauh turut berhadapan dengan risiko yang
sama.
Walau bagaimanapun, jika perjalanan jauh masih perlu diteruskan, anda
harus memberi perhatian kepada kesihatan diri sendiri. Oleh yang
demikian, duduk dalam kedudukan yang betul dan selesa, jangan duduk
terlalu lama, jauhi alkohol, minum air dalam jumlah yang banyak dan
keraplah melakukan senaman regangan ringkas atau pergerakan kaki.
Langkah sebegini amat penting untuk dititikberatkan bagi mengelakkan
masalah darah beku, memperbaiki perjalanan darah, menggalakkan regangan
otot yang akhirnya dapat memberikan keselesaan kepada diri anda
sepanjang perjalanan.
Sementara itu, antara perkara yang perlu diberi perhatian
sebelum memulakan perjalanan jarak jauh adalah sentiasa membawa ubat
yang dibekalkan oleh doktor yang memeriksa kehamilan sebagai persediaan
menghadapi sebarang kemungkinan khususnya kepada anda yang mempunyai
masalah kesihatan seperti asma. Anda juga dinasihatkan sentiasa membawa
bersama rekod pemeriksaan kehamilan terutamanya bagi yang mempunyai
kandungan bermasalah.
Namun, adalah lebih baik untuk anda mengelakkan perjalanan jarak jauh
di akhir usia kehamilan. Sekiranya berlaku kelahiran pramatang,
risikonya bukan sahaja kepada bayi yang dikandung, tempiasnya turut akan
mengenai diri anda sendiri.
Guna kereta
Perjalanan jarak jauh yang menggunakan kereta adalah pilihan terbaik
untuk anda. Dengannya, anda boleh berhenti di mana sahaja dan pada
bila-bila masa yang dikehendaki. Tidak kira sama ada di tepi jalan atau
di kawasan rehat lebuh raya, anda boleh mengambil kesempatan untuk
berehat seketika untuk melakukan senaman regangan.
Perlu anda tahu bahawa ibu hamil mempunyai komposisi darah yang boleh
mengakibatkan pembekuan darah dalam saluran vena. Keadaan ini boleh
mendatangkan bahaya jika darah beku menyumbat saluran paru-paru dan
mengurangkan paras oksigen dalam tubuh sehingga membahayakan nyawa.
Secara tidak langsung bayi dalam kandungan juga boleh diancam mudarat
yang sama.
Naiki kenderaan awam
Seboleh-bolehnya elakkan penggunaan kenderaan awam seperti bas dan
kereta api. Hal ini kerana, anda tidak berupaya untuk bergerak bebas
kerana tempat duduk yang disediakan agak sempit. Kaki anda juga sentiasa
terjuntai dan tidak dapat diluruskan. Keadaan sebegini tentunya kurang
menyelesakan apatah lagi kebanyakan bas berhenti sekali sahaja sepanjang
perjalanan bagi membolehkan para penumpang berehat.
Penerbangan melalui pesawat
Menaiki pesawat dikatakan tidak selamat bagi wanita hamil atas alasan faktor logistik. Adalah lebih mudah untuk anda mendapatkan rawatan doktor pakar di hospital dengan menaiki kenderaan darat berbanding udara apabila berlaku hal-hal kecemasan.
Menaiki pesawat dikatakan tidak selamat bagi wanita hamil atas alasan faktor logistik. Adalah lebih mudah untuk anda mendapatkan rawatan doktor pakar di hospital dengan menaiki kenderaan darat berbanding udara apabila berlaku hal-hal kecemasan.
Apatah lagi, kebanyakan pesawat di mana-mana jua syarikat penerbangan
tidak dilengkapi dengan kelengkapan khusus untuk menyambut kelahiran
bayi. Keadaan akan bertambah buruk andainya berlaku komplikasi atau
kecemasan sewaktu proses kelahiran bayi semasa di udara.
Sekiranya masih perlu menaiki kapal terbang, anda mungkin memerlukan
surat rujukan daripada doktor menyatakan bahawa anda dan kandungan
sihat, dan sesuai untuk melalui perjalanan itu. Bagi memudahkan
pergerakan, anda dinasihatkan memohon tempat duduk yang berdekatan
dengan laluan dan bukannya di tepi tingkap.
Info
Ketika berada di dalam kereta, pastikan anda memakai tali keledar.
Langkah ini penting untuk menyelamatkan nyawa jika berlaku kemalangan.
Jangan risau mengenai isu bayi dalam kandungan dihimpit oleh tali
keledar memandangkan dia dilindungi air ketuban. Air berkenaan adalah
mekanisme perlindungannya.
Pakai tali keledar dengan meletakkan tali itu di bahagian perut iaitu
sebawah yang mungkin. Tali di bahagian dada pula diletakkan di antara
kedua-dua belah payu dara. Dalam pada itu, dinasihatkan agar anda
sentiasa menukar kedudukan tali dari semasa ke semasa supaya ia memberi
keselesaan berpanjangan.
Tip tambahan
1. Dapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan. Ini bagi
memastikan anda cergas dan tidak mengantuk serta letih ketika dalam
perjalanan.
2. Pakai pakaian dan kasut yang selesa.
3. Bawa bekalan makanan dan minuman mencukupi. Elakkan daripada mengambil minuman berkarbonat.
4. Apabila berada dalam keadaan duduk yang agak lama, letakkan bantal kecil di belakang dan cuba lunjurkan kaki. Keadaan ini boleh mengurangkan kaki menjadi bengkak dan dalam masa yang sama memperbaiki peredaran darah. Posisi ini penting bagi anda yang mengalami varicose veins.
5. Jika melakukan perjalanan jarak jauh dengan menggunakan kereta, pastikan ia berada dalam keadaan yang baik dan baru diservis.
6. Rancang perjalanan dan jangan tergesa-gesa di jalan raya. Berhenti pada bila-bila masa yang diperlukan untuk melakukan senaman regangan bagi memperbaiki peredaran darah.
Sumber : PAMA : Risiko Perjalanan Jauh
2. Pakai pakaian dan kasut yang selesa.
3. Bawa bekalan makanan dan minuman mencukupi. Elakkan daripada mengambil minuman berkarbonat.
4. Apabila berada dalam keadaan duduk yang agak lama, letakkan bantal kecil di belakang dan cuba lunjurkan kaki. Keadaan ini boleh mengurangkan kaki menjadi bengkak dan dalam masa yang sama memperbaiki peredaran darah. Posisi ini penting bagi anda yang mengalami varicose veins.
5. Jika melakukan perjalanan jarak jauh dengan menggunakan kereta, pastikan ia berada dalam keadaan yang baik dan baru diservis.
6. Rancang perjalanan dan jangan tergesa-gesa di jalan raya. Berhenti pada bila-bila masa yang diperlukan untuk melakukan senaman regangan bagi memperbaiki peredaran darah.
Sumber : PAMA : Risiko Perjalanan Jauh