LES' Copaque Production Sdn Bhd membuat laporan dengan polis dan Cyber Security Malaysia berhubung aktiviti memindah turun karya filem Geng: Pengembaraan Bermula yang kini berleluasa secara haram di Internet.
Beberapa laman menyediakan perkhidmatan pindah turun secara tidak sah melakukan kesalahan itu mengikut Akta Hak Cipta 1987 dengan menyalin semula karya tanpa kebenaran syarikat yang menjadi pemilik harta intelek filem itu.
Les' Copaque memandang serius perkara berkenaan dan berusaha mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba melumpuhkan industri perfileman dan animasi negara.
Cyber Security Malaysia sudah banyak membantu syarikat dalam menangani isu salinan langgaran dan pindah turun secara haram di Internet, begitu juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang banyak membantu pihak Les' Copaque dalam memerangi gejala cetak rompak.
Geng: Pengembaraan Bermula adalah filem animasi 3D yang pertama di Malaysia dengan kos RM4 juta dan memakan masa tiga tahun untuk disiapkan.
Peminat siri animasi Upin & Ipin boleh mendapatkan DVD dan VCD tulen yang berada di pasaran sejak dua minggu lalu.
Dengan bantuan beberapa agensi kerajaan, Les' Copaque akan mengesan individu tidak bertanggungjawab itu dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.
Beberapa notis sudah dihantar kepada laman yang tidak bertanggungjawab supaya menghentikan aktiviti berkenaan.
Cadangan sudah dibuat untuk menghalang laman web terbabit daripada terus beroperasi.
Satu laman yang dikenali sebagai
torrent.jiwang.cc dikenal pasti antara penyedia perkhidmatan memindah turun secara haram dan pihak syarikat sedang mengesan individu di sebalik laman berkenaan dengan bantuan Cyber Security Malaysia.
Source : http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/itMetro/20091007110041/Article/index_html