Allah SWT
berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi
memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara
mereka. (al-Nisa’: 34)Dalam ayat ini Allah menghimpun beberapa sifat yang wajib
ada pada seorang wanita solehah, antaranya adalah taat kepada Allah swt dan
kepada suaminya dalam perkara yang makruf (perkara baik) lagi memelihara
dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.
Al-Sheikh Abdul
Rahman bin Nashir As-Sa’di r.h. berkata: “Tugas seorang isteri adalah
menunaikan ketaatan kepada Allah dan taat kepada suaminya, kerana itulah Allah
berfirman:Wanita solehah adalah yang taat, iaitu taat kepada Allah SWT, lagi
memelihara diri ketika suaminya tidak ada di rumah atau di sampingnya”. Iaitu
taat kepada suami mereka bahkan ketika suaminya tidak ada, dia menjaga suaminya
dengan menjaga dirinya dan harta suaminya.(Taisir, hal. 177)
Ketika Rasulullah
menghadapi permasalahan dengan isteri-isterinya sampai beliau bersumpah tidak
akan mencampuri mereka selama sebulan, Allah SWT menyatakan kepada baginda SAW
dengan firman yang bermaksud:Jika sampai Nabi menceraikan kalian, mudah-mudahan
Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik
daripada kalian, muslimat, mukminat, qanitat (taat kepada Allah), taibat
(sentiasa bertaubat), ‘abidat (sering beribadat), saihat (kerap berpuasa) dari
kalangan janda ataupun gadis. (at-Tahrim: 5) [Al-Jami' li Ahkamil Quran, 18/126-127,
Tafsir Ibnu Katsir, 8/132]
Nabi SAW ada
bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu,
berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka
ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga
dari pintu mana saja yang engkau sukai”. (riwayat Ahmad 1/191, Shahihul Jami’
no. 660, 661)
Berdasarkan
dalil-dalil tersebut, dapat kita simpulkan bahawa sifat isteri yang solehah
adalah sebagai berikut:
1. Mentauhidkan
Allah dengan mengabdikan diri hanya kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan
sesuatupun.
2. Tunduk kepada
perintah Allah, terus menerus dalam ketaatan kepada-Nya dengan banyak melakukan
ibadah seperti solat, puasa, bersedekah dan selainnya.
3. Menjauhi segala
perkara yang dilarang dan menjauhi sifat-sifat yang rendah yang boleh menghakis
sifat-sifat mulia.
4. Selalu
bertaubat kepada Allah hingga lisannya sentiasa dipenuhi istighfar dan zikir
kepada-Nya. Sebaliknya ia jauh dari perkataan yang sia-sia, tidak bermanfaat
dan membawa dosa seperti dusta dan lainnya.
5. Menaati suami
dalam perkara kebaikan bukan dalam bermaksiat kepada Allah dan melaksanakan
hak-hak suami sebaik-baiknya.
6. Menjaga dirinya
ketika suami tidak berada di sisinya. Ia menjaga kehormatannya dari tangan yang
hendak menyentuh, dari mata yang hendak melihat, atau dari telinga yang hendak
mendengar.
Demikian juga
menjaga anak-anak, rumah, dan harta suaminya.
Sifat isteri solehah lainnya boleh
diperincikan berikut:
1. Penuh kasih sayang, selalu kembali
kepada suaminya dan mencari maafnya. Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah aku
beritahukan kepada kalian, isteri-isteri kamu yang menjadi penghuni syurga
ialah isteri yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada
suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan
tangannya pada tangan suaminya seraya berkata: “Aku tak dapat tidur sebelum
engkau reda”. (riwayat al-Nasai dalamIsyratun Nisa no. 257.)
2. Melayani suaminya (berkhidmat kepada
suami) seperti menyiapkan makan minumnya, tempat tidur, pakaian dan
seumpamanya.
3. Menjaga rahsia-rahsia suami,
lebih-lebih yang berkenaan dengan hubungan intim antara dia dan suaminya.
Asma’ bintu Yazid r.ha menceritakan dia
pernah berada di sisi Rasulullah. Ketika itu kaum lelaki dan wanita sedang
duduk. Baginda bertanya: “Barangkali antara kalian ada suami yang menceritakan
apa yang diperbuatnya dengan isterinya (hubungan suami isteri), dan barangkali
ada isteri yang memberitahu apa yang diperbuatnya bersama suaminya?” Maka
mereka semua diam tidak ada yang menjawab. Aku (Asma) pun menjawab: “Demi
Allah! Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka (para isteri) benar-benar
melakukannya, demikian pula mereka (para suami)”.
Baginda bersabda bermaksud: “Jangan lagi
kalian lakukan, kerana yang demikian itu seperti syaitan jantan yang bertemu
dengan syaitan betina di jalan, kemudian digaulinya sementara manusia
menontonnya”. (riwayat Ahmad 6/456)
4. Selalu berpenampilan yang bagus dan
menarik di hadapan suaminya sehingga bila suaminya memandang akan
menyenangkannya.
5. Ketika suaminya sedang berada di rumah,
ia tidak menyibukkan dirinya dengan melakukan ibadah sunnah yang dapat
menghalangi suaminya untukistimta’ (bernikmat-nikmat) dengannya seperti puasa,
terkecuali bila suaminya mengizinkan.
6. Pandai mensyukuri pemberian dan
kebaikan suami, tidak melupakan kebaikannya.
7. Bersegera memenuhi ajakan suami
memenuhi hasratnya, tidak menolaknya tanpa alasan yang syarie, dan tidak
menjauhi tempat tidur suaminya, kerana ia tahu dan takut terhadap berita
Rasulullah SAW yang bermaksud: Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya,
tidaklah seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu si isteri
menolak ajakan suaminya (enggan) melainkan Allah SWT murka terhadapnya hingga
si suami reda padanya. (riwayat Muslim no. 1436)
No comments:
Post a Comment