Bakal Pengantin – 10
Kemungkaran & Bidaah Dalam Majlis Kahwin Melayu | Yang
dimaksudkan sebagai kemungkaran di sini adalah apa jua perkara yang dilarang
dan diharamkan di dalam agama. Allah s.w.t berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu
mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah
syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji
dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada
kamu sekalian, niscaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari
perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah
membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha
Mengetahui.” (Surah an-Nur, 24: 21)
“Wahai anakku,
dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah
(mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa
kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang diwajibkan (oleh
Allah).” (Surah Luqman, 31: 17)
“Apa yang diberikan
Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka
tinggalkanlah.” (Surah al-Hasyr, 59: 7)
Manakala tokok tambah
(bid’ah) yang dimaksudkan di sini adalah apa jua tokok tambah yang dikhususkan
di dalam majlis walimah yang pada asalnya menurut timbangan agama tidak
disyari’atkan. Aturcara walimah (majlis perkahwinan) adalah sebuah ibadah yang
disyari’atkan oleh agama melalui Nabi kita Muhammad s.a.w. Di mana di dalam
sebuah hadith
Nabi disebutkan:
“Sebenar-benar
perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk
Muhammad s.a.w, seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam
agama, setiap perkara baru yang diada-adakan di dalam agama adalah bid’ah, dan
setiap bid’ah itu sesat.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 1097)
Begitu juga di dalam
beberapa hadith yang lain, kita turut diperingatkan. Dari Irbadh bin Sariyah
r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap
perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam
agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadith Riwayat Abu
Daud, no. 4607)
Dengan lebih tepat, “Bid’ah
adalah sebuah cara baru di dalam agama yang dibuat menyerupai seakan-akan
syariat dengan tujuan untuk berlebih-lebihan di dalam beribadah kepada Allah
Subhanahu wa Ta’ala.” (Imam asy-Syatibi, di dalam al-I’tisyam. Rujuk:
Yazid Abdul Qadir Jawas, Syarah ‘Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah, m/s. 78-79,
Pustaka Imam asy-Syafi’i. Juga Alawy Abdul Qadir as-Saqqaf, Mukhtashar
al-I’tisham, m/s. 32, Media Hidayah)
Maka dengan ini,
sesuatu yang asalnya tidak dikhususkan atau tidak disyariatkan oleh agama
melalui dalil-dalil yang benar di dalam walimatul urus, maka sekiranya ia
berlaku dan dilakukan ini adalah termasuk ke dalam bentuk-bentuk tokok tambah
terhadap agama yang jelas bertentangan dan mengajak kepada perbuatan bid’ah.
Sekiranya kita menganggap dan berkeyakinan bahawa sesebuah ritual atau sesuuatu
amalan yang pada asalnya tidak disyariatkan ke dalam sesebuah majlis walimah,
dan sekiranya amalan tersebut tidak diadakan di dalam majlis walimah tersebut,
kita mengatakan bahawa walimah tersebut tidak lagi lengkap, tidak lagi
sempurna, kelihatan janggal, atau tidak berseri atau seumpamanya, maka
sebenarnya kita telah menuju kepada perbuatan bid’ah. Iaitu menuju kepada
perbuatan yang sebenarnya tidak pernah ditetapkan oleh syari’at, tetapi kita
telah memandai-mandai sendiri menetapkannya. Ini adalah kerana, walimah adalah
sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh Allah melalui NabiNya s.a.w. Apatah lagi
sekiranya, perkara yang ditambah itu adalah merupakan perbuatan-perbuatan yang
mungkar dan membawa kepada larangan yang berat di sisi Allah.
Perbahasan di dalam
bahagian ini akan dibawakan dengan seringkas mungkin dan padat.
1. Membuka
Aurat
Perbuatan mendedahkan
aurat di khalayak ramai (para hadirin) oleh wanita pada masa ini semakin banyak
dilakukan di dalam majlis-majlis walimah. Malah ianya sudah menjadi satu trend
(gaya) dalam kalangan umat Islam setiap kali pasangan pengantin melangsungkan
majlis perkahwinan mereka. Terdapat sebagahagian wanita yang asalnya bertudung,
tetapi apabila tiba hari perkahwinannya, dia dengan relanya membuka tudung dan
menededahkan bahagian-bahagian aurat tertentu. Termasuk perbuatan mendedahkan
aurat adalah dengan memakai pakaian yang ketat sehingga menggambarkan bentuk
tubuh badan, mengenakan pakaian dengan kain yang jarang, dan mengenakan kain
yang tipis.
Sedangkan Allah s.w.t
berfirman: “Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka
menahan pandangan dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan
perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka
menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya
(aurat) kecuali kepada (mahram mereka).” (Surah an-Nuur, 24: 31)
2. Bersolek
dan memakai wangi-wangian bagi wanita
Dari Abu Musa
al-Asy’ary r.a, dia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Wanita yang
memakai wangi-wangian, dan kemudian dia melintasi suatu kaum supaya mereka
mencium bau wanginya, maka wanita tersebut adalah wanita penzina.” (Hadith
Riwayat Abu Daud, no. 4172, at-Tirmidzi, no. 2786)
Alasan dari larangan
tersebut dapat dilihat dengan jelas iaitu menggerakkan panggilan syahwat (kaum
lelaki). Sebahagian ulama telah mengaitkan perkara lain dengannya, seperti
memakai pakaian yang cantik (melawa), perhiasan yang ditampakkan, dan bercampur
baur dengan kaum lelaki. (Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, 2/279. Rujuk:
Abu Malik Kamal, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 151, Pustaka Ibnu
Katsir)
Allah s.w.t berfirman:
“…Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti
orang-orang Jahiliyyah yang dahulu.” (Surah al-Ahzab, 33: 33)
3. Mencukur
Kening dan Memakai Rambut Palsu
Sabda Rasulullah
s.a.w: “Allah melaknat orang yang membuat tatu dan wanita yang minta
ditatu, wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu), yang mencukur
alis (bulu kening), dan yang minta dicukur, dan wanita yang merenggangkan
giginya untuk kecantikan sehingga mengubah ciptaan Allah.” (Hadith Riwayat
al-Bukhari, no. 4886)
4.
Memanjangkan Kuku dan Mewarnakannya Dengan Pewarna
Rasulullah s.a.w
bersabda: “Termasuk fitrah bagi manusia itu ada lima: Khitan, mencukur bulu
kemaluan, merapikan misai, memotong kuku, dan mencabut bulu ketiak.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5889)
Berkenaan permasalahan
trend mewarnakan kuku ini, Syaikh al-Albani rahimahullah berkata: “Ini
adalah merupakan kebiasaan buruk yang dilakukan oleh wanita-wanita Eropah
kepada wanita-wanita Islam, iaitu memanjangkan kuku dan mewarnakannya dengan
warna merah atau selainnya dengan kuteks (pewarna/pengecat kuku). Kebiasaan ini
juga turut dilakukan oleh sebahagian pemuda. Perbuatan ini selain mengubah
ciptaan Allah, ia juga menjadikan pelakunya terlaknat dan perbuatan ini
termasuk meniru-niru (tasyabbuh) perbuatan wanita-wanita kafir.“
Daripada Ibnu ‘Umar,
Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum
(kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.”
(Hadith Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul
Jami’, no. 6149, juga dijelaskan di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)
5. Mencukur
Janggut
Sebahagian kaum lelaki
muslim pada masa ini tidak lagi berminat memelihara janggut dan membenci
memelihara janggut. Malah, ada pula di antara mereka yang mencukur janggutnya
semata-mata untuk nampak bergaya di majlis perkahwinannya. Sedangkan, perbuatan
memelihara janggut adalah sebuah sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w,
dan di dalam banyak hadith-hadithnya berkenaan janggut ia menunjukkan sebuah
perintah yang perlu diikuti.
Daripada Ibnu ‘Umar
r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Selisihilah kaum majusi, rapikanlah misai,
dan peliharalah janggut.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5893)
6.
Mengkhususkan Adanya Cincin Perkahwinan
Perbuatan bertukar
cincin atau menetapkan adanya cincin perkahwinan, pertunangan, atau pun
pernikahan, ianya sama sekali bukan berasal daripada ajaran Islam. Ini adalah
sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah: “Tindakan
ini (menyarung cincin) selain meniru tradisi orang-orang kafir sehingga menjadi
sebuah larangan, ia juga mengandungi pelanggaran terhadap dalil-dalil hadith
yang melarang lelaki mengenakan cincin emas.” (al-Albani, Adabuz Zifaf,
m/s. 191, Media Hidayah)
Asal perbuatan (adat)
menyarung cincin perkahwinan ini adalah berasal dari adat kepercayaan kuno kaum
Nasrani (kristian). Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh
al-Albani di dalam kitabnya, Adabuz Zifaf.
Syaikh Ibnu Bazz
rahimahullah (Mufti Saudi Arabia) menjelaskan: “Kami tidak mengetahui dasar
amalan ini (sarung cincin) di dalam syariat.” (Muhammad al-Musnid, Fatawa
Islamiyah, 3/129. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230,
Pustaka Ibnu Katsir)
7. Adat
Bersanding dan Pelamin
Perbuatan mengadakan
pelamin dan adat bersanding bukanlah sebuah amalan yang berasal dari ajaran
Islam. Malah, ia mungkin ditiru dan berasal dari ajaran Hindu atau pun
Kristian. Ini adalah kerana amalan tersebut sangat mirip dengan adat upacara
perkahwinan mereka.
Menurut Syaikh
Abdullah bin ‘Abdurrahman al-Jibrin hafizahullah: “Perbuatan ini
(bersanding) adalah tidak dibenarkan. Sebab ini adalah bukti atas tercabutnya
rasa malu dan taqlid (mengikuti) kepada kaum yang suka kepada keburukan.
Perkaranya adalah jelas. Pengantin wanita sepatutnya merasa malu menampakkan
diri di hadapan manusia, lalu bagaimana dengan perbuatan tersebut yang sengaja
dilakukan di hadapan orang-orang yang sengaja menyaksikannya?” (Muhammad
al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/188. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh
Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)
Syaikh Ibnu ‘Utsaimin
rahimahullah berkata: “Di antara perkara mungkar, bahawa rasa malu
sebahagian manusia telah tercabut dari mereka. (Adalah) seorang suami datang di
tengah kaum wanita dan naik pelamin bersama isterinya di hadapan kaum wanita,
iaitu pada awal pertemuannya dengan isterinya untuk bersanding dengannya,
bersalaman tangan dengannya, mungkin menciumnya, dan mungkin memberikan hadiah
kepadanya berserta coklat dan selainnya yang dapat menggerakkan syahwat dan
mengakibatkan fitnah.” (Min Munkaratil Afraah, m/s. 7, 10. Rujuk: Panduan
Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 231, Pustaka Ibnu Katsir)
8. Menabur
Gula-gula, Coklat, dan Bunga
Perbuatan ini tidak
terdapat di dalam syariat atau pun majlis walimah sebagaimana yang disunnahkan
oleh Rasulullah s.a.w. Ada pun sebenarnya, perbuatan ini termasuk meniru-niru
perbuatan kaum kafir yang diambil dari perbuatan kaum kristian yang menabur
bunga di acara-acara perkahwinan mereka.
Daripada Ibnu ‘Umar,
Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan
orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadith Riwayat Abu
Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga di
dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)
Imam Ibnu Katsir
menjelaskan di bawah penafsiran Surah al-Baqarah, [2:104]: “Allah Ta’ala
melarang hamba-hamba-Nya yang beriman menyerupai (syi’ar) orang-orang kafir,
sama ada dalam ucapan mahu pun perbuatan mereka.” (Ibnu Katsir, Shahih
Tafsir Ibnu Katsir (Judul asal: al-Mishbaahul Muniir fii Tahdziibi Tafsiiri
Ibni Katsir, Selenggaraan Syaikh Syafiurrahman al-Mubarakfuri), jil. 1, m/s.
364, Pustaka Ibnu Katsir)
Sekiranya amalan
tersebut disandarkan kepada agama, maka perbuatan tersebut termasuk meletakkan
perbuatan yang tiada asalnya di dalam agama, maka ia adalah bid’ah lagi sesat.
Ini adalah kerana walimatul urus adalah sebuah aturcara agama sebagaimana yang
diperintahkan (ditekankan) berdasarkan sunnah yang jelas.
Dari ‘Aisyah r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru
di dalam agama kami ini, maka ianya tertolak.” (Hadith Riwayat al-Bukhari,
no. 2697)
Dari Irbadh bin
Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap
perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam
agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadith Riwayat Abu
Daud, no. 4607)
9. Adat
Merenjis Air Mawar
Adat ini juga bukan
berasal dari Islam. Mungkin ia diambil dari amalan masyarakat Hindu. Selain
merupakan perbuatan yang ditokok tambah (bid’ah) di dalam walimatul urus, malah
ianya juga boleh menjurus kepada perbuatan syirik sekiranya dengan perbuatan
merenjis tersebut disertakan dengan i’tiqad (keyakinan-keyakinan) tertentu
seperti mempercayai pasangan pengantin yang direnjis akan mendapat kebahagiaan
dan seumpamanya.
10. Mewajibkan
Adanya Duit dan Barang Hantaran
Adat ini ditetapkan
oleh kebanyakan masyarakat Melayu secara umumnya iaitu dengan mewajibkan pihak
lelaki (atau bakal/calon suami) supaya membayar sejumlah wang yang dinamakan
sebagai wang hantaran kepada keluarga pihak perempuan. Kebiasaannya (pada masa
ini) sehingga RM10,000 atau lebih dari itu bergantung kepada status pendidikan
atau pun permintaan wanita yang hendak dinikahi. Nilai wang hantaran ini akan
ditetapkan oleh sama ada bakal isteri atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali
imbas, perbuatan ini adalah seakan-akan sebuah perbuatan jual beli wanita. Dan
wang ini akan diserahkan kepada keluarga si isteri.
Dan kemudiannya,
kedua-dua pihak akan saling bertukar barang hantaran tertentu sesama mereka. Di
mana mereka mengkhususkan dengan jumlah bilangan tertentu, seperti 5 dulang
dari lelaki berbalas 7 dulang barangan tertentu dari pihak perempuan, atau 7
dulang dari pihak lelaki berbalas 9 dulang dari pihak perempuan, atau 9 dulang
dari pihak lelaki berbalas 11 dulang dari pihak perempuan, dan seterusnya.
Ada pun sebenarnya
perbuatan ini langsung tidak pernah ditetapkan oleh Islam, dan perbuatan ini
merupakan perbuatan bid’ah iaitu amalan yang ditokok tambah ke dalam majlis
walimah umat Islam. Adalah menjadi suatu yang sunnah di dalam agama supaya
memudahkan urusan pernikahan (juga urusan yang lain), tetapi, dengan
ditambahnya amalan-amalan seperti ini, ia hanya akan menyusahkan (memberatkan)
pasangan yang hendak berkahwin dan ia sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya
perkahwinan ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan perkara yang karut ini.
Dari Irbadh bin
Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap
perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam
agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadith Riwayat Abu
Daud, no. 4607)
Namun, apa yang
diwajibkan atau pun disunnahkan di dalam syariat hanyalah memberikan mahar (mas
kahwin) oleh lelaki kepada wanita yang dinikahi, sama ada berdasarkan apa yang
diminta oleh wanita tersebut atau pun tanpa diminta. Dan mas kahwin ini
tidaklah semestinya di dalam bentuk wang ringgit atau barang-barang tertentu.
Ianya sama ada tertakluk berdasarkan apa yang diminta oleh wanita, atau pun
bebas dengan apa yang hendak diberikan oleh si lelaki jika si wanita tidak
menetapkannya. Dan mahar adalah merupakan salah satu rukun dan syarat sahnya
nikah.
Allah s.w.t berfirman:
“Berikanlah
maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan
penuh kerelaan…” (Surah an-Nisaa’, 4: 4)
“… Maka
isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah
kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban…” (Surah
an-Nisaa’, 4: 24)
Dan mahar yang paling
baik adalah mahar yang paling mudah, ringan atau tidak mahal (tidak menyusahkan
dan memberatkan si suami). Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir r.a, Rasulullah s.a.w
bersabda: “Pernikahan yang paling besar keberkahannya adalah yang paling
mudah maharnya.” (Hadith Riwayat Ahmad, no. 24595)
Perbuatan meninggikan
atau memahalkan penetapan nilai mahar adalah satu perbuatan yang dibenci oleh
agama sebagaimana disebutkan di dalam beberapa hadith. Umar al-Khaththab r.a
berkata: “Ingatlah, janganlah meninggikan nilai mahar wanita. Jika itu merupakan
kemuliaan di dunia atau taqwa di sisi Allah, sudah tentu yang paling utama
melakukannya adalah Rasulullah s.a.w.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 2106)
(Rujuk: Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 76, Dar an-Naba’)
Sahih di dalam beberapa
riwayat bahawa Rasulullah dan beberapa sahabat berkahwin dengan mengeluarkan
mahar yang sangat kecil. Malah di sebahagian keadaan, ada yang memberikan mahar
dalam bentuk cincin besi, baju besi, memerdekakan hamba, dengan hafazan
Al-Qur’an, dengan mengajarkan surah-surah tertentu dari Al-Qur’an, dengan
segenggam kurma, dengan mengislamkan seseorang, dengan sebiji emas sebesar biji
kurma, dan selainnya. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment