Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali
Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Penglibatan
Orang Islam Dalam Aktiviti Candlelight Vigil. Muzakarah telah memutuskan
bahawa:
1. Islam melarang umatnya daripada terlibat dalam apa jua amalan yang
bersifat ritual atau upacara agama bukan Islam.
2.
Umat Islam dilarang menyertai aktiviti Candlelight
Vigil kerana ia mengandungi unsur-unsur tasyabbuh dengan agama bukan Islam yang akan menjejaskan akidah umat Islam.
Keterangan/Hujah
:
1. Di dalam Islam, cahaya atau api yang dihasilkan
oleh lilin dan selainnya tidak memberi apa-apa pengertian berkaitan aqidah dan
kepercayaan. Cahaya atau api hanya merupakan satu alat yang dikurniakan oleh
Allah SWT bagi memudahkan urusan kehidupan manusia. Bagaimanapun, api atau
cahaya menjadi satu perkara yang amat signifikan bagi agama-agama bukan Islam
terutamanya bagi agama majoriti di negara ini iaitu Kristian, Hindu dan Buddha.
Amalan Candlelight Vigil khasnya atau kuasa cahaya atau api amnya mempunyai
perkaitan langsung dengan ketiga-tiga agama tersebut.
2. Upacara berhimpun di suatu tempat dengan membakar
lilin sebagai tanda protes adalah menyerupai amalan agama orang bukan Islam.
Hukum Islam jelas melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup
orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah S.A.W. dalam
Mausu’ah al-Sunnah, al-Kutub al-Sittah Sahih Muslim: Kitab Al-Aqdiyyah, Hadis
ke-18, m.s. 1343 yang bermaksud :
“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. telah
bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami
maka ia adalah tertolak”. (Riwayat Muslim)
3. Rasulullah S.A.W turut melarang umatnya daripada
melakukan sesuatu perkara yang bukan datangnya dari urusan agama, sepertimana
disebutkan di dalam Mausu’ah al-Sunnah, al-Kutub al-Sittah Sahih Muslim: Kitab
Al-Aqdiyyah, Hadis ke-17, m.s. 1343 yang bermaksud :
“Telah diberitakan
kepada kami oleh Abu Ja’far Muhammad bin al-Subhi dan Abdullah bin Aun
al-Hilali kesemua daripada Ibrahim bin Sa’ad telah berkata Ibn al-Subhi,
diceritakan kepada Ibrahim bin Sa’ad bin Ibrahim bin Abd al-Rahman bin Auf,
diberitakan kepada kami oleh ayahku daripada al-Qasim bin Muhammad daripda
Aisyah berkata; Rasulullah S.A.W telah bersabda “Sesiapa yang mengada-adakan
(mereka-reka) perkara yang baru dalam urusan kami dan perkara tersebut bukan
tergolong di dalamnya maka ia adalah tertolak”. (Riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment