15 April 2012

Kisah Malaikat Maut Dengan Raja Yang Sombong

Berkata Wahab Bin Munabbih: " Ada seorang raja yang hendak pergi menjelajah kesebuah tempat, lalu raja itu meminta pakaian yang cantik-cantik. Walau pun banyak pakaian yang telah dicubanya namun dia tidak juga rasa puas hatinya. Akhirnya dia memakai pakaian yang terlebih baik."

Berkata Wahab lagi: "Begitu juga dengan kenderaan yang hendak dinaikinya, banyaklah kenderaan yang dicubanya sehingga sesuai dengan kehendaknya. Setelah raja itu berpuas hati dengan keinginan lalu datanglah Iblis menghembuskan dalam lubang hidung raja itu dengan sekali hembus, maka dimasa itu juga raja itu menjadi orang yang cukup sombong."

Wahab meneruskan ceritanya: "Selepas itu datang seorang lelaki memberi salam, tetapi oleh kerana terlalu sombong raja itu tidak mahu menjawab salam lelaki tersebut. Lalu lelaki itu memegang tali kuda yang dinaiki oleh raja itu."

Oleh kerana lelaki itu memegang kuat tali kuda raja itu maka marahlah raja itu dengan berkata: " Lepaskan tali kuda ini, engkau telah melampau."

Berkata lelaki itu:" Aku ada keperluan yang hendakku sampaikan kepadamu sekarang."

Berkata raja: " Sabar, biar aku turun dulu dari kuda."

Berkata lelaki itu:" Tidak, aku hendak sampaikan sekarang juga."

Lelaki itu tetap berkeras sehingga raja itu mengalah dan berkata: " Katakan apakah keperluan yang engkau hendak. "

Berkata lelaki itu: "Ini adalah rahsia."

Oleh kerana rahsia yang hendak disampaikan maka raja itu pun mendekatkan telinganya kepada lelaki itu dan berkata lelaki itu:" Sebenarnya aku ini ialah malaikat maut."

Apabila terdengar sahaja kata-kata lelaki itu maka gementarlah seluruh anggota raja itu dan dia berkata: "Wahai malaikat maut, tinggalkanlah aku buat seketika kerana aku hendak kembali kepada keluargaku dan aku berjanji akan kembali setelah melihat mereka semua."

Berkata malaikat maut: "Tidak! Demi Allah, engkau tidak akan dapat melihat keluargamu dan kelengkapan perjalananmu buat selama-lamanya."

Setelah berkata demikian maka malaikat maut pn mengambil nyawa raja itu dan jatuhlah raja itu dari kudanya bagaikan kayu yang pecah. Malaikat maut pun berlalu meninggalkan tempat itu.

No comments: