05 July 2012

47% Pekerja Muda Alami Masalah Hutang Serius


KUALA LUMPUR – Kajian oleh Pusat Kajian dan Sumber Pengguna (CRRC) mendapati kira-kira 47 peratus golongan pekerja muda di Malaysia mengalami masalah hutang yang serius.
CRRC melalui satu kenyataan media memberitahu, kajian terhadap perilaku dan sikap pekerja muda itu mendapati 47 peratus pekerja muda mempunyai beban hutang bulanan 30 peratus atau lebih daripada pendapatan kasar.

“Kira-kira 37 peratus daripada golongan pekerja muda tempatan pula mengakui berbelanja di luar kemampuan dan 15 peratus pula tidak mempunyai simpanan langsung,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, bagi yang mempunyai simpanan sekiranya berhenti bekerja secara purata hanya mempunyai simpanan untuk menampung keperluan selama empat bulan.

Tambah kenyataan itu, kajian juga mendapati secara purata pembelian golongan pekerja muda menggunakan kad kredit RM702 sebulan dan 37 peratus mereka tidak pernah terfikir tentang persediaan untuk persaraan.

“Bagi yang pernah memikirkan tentang persediaan untuk bersara, kira-kira 60 peratus daripada mereka tidak begitu berpuas hati dengan persediaan dimiliki,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, kajian turut mendapati kira-kira 43 peratus golongan pekerja muda mempunyai kurang pengetahuan kewangan dan memberi nilai skor yang rendah untuk tahap pengurusan kewangan diri sendiri

Justeru, kata kenyataan itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan Kewangan untuk menyelaras dan mengintegrasi pendidikan kewangan kepada semua sektor, termasuk sekolah, belia, komuniti dan keluarga.

Ia kerana pendidikan kewangan dapat menyumbang ke arah kesejahteraan hidup pengguna dengan membantu mereka menguruskan kewangan dengan cekap serta mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang produk dan perkhidmatan kewangan.

“Untuk menjadi seorang pengguna yang berpengetahuan dalam bidang kewangan, seseorang perlu mempunyai maklumat iaitu mengetahui saluran untuk mendapatkan maklumat dan kemudian memproses maklumat tersebut untuk membuat keputusan kewangan yang bijak,” kata kenyataan itu lagi.