PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia sudah mengambil keputusan untuk memulakan
proses pemindahan pelajar Malaysia dari Syria pulang ke tanahair dengan
segera berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata pemindahan itu sebagai
langkah berjaga-jaga demi keselamatan pelajar dan bagi mengelakkan
berlakunya sebarang insiden tidak diingini.
Pemindahan itu diselaraskan oleh Kementerian Luar Malaysia dan Majlis
Keselamatan Negara bersama Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik.
Sehubungan itu, Kementerian Luar memohon kerjasama ibu
bapa/penjaga untuk menasihati anak-anak mereka yang masih berada di
Syria untuk pulang ke Malaysia.
"Duta Besar Malaysia dan empat orang pegawai kedutaan akan turut
dipanggil pulang buat sementara waktu selepas proses pemindahan pelajar
selesai dilaksanakan," kata Anifah dalam satu kenyataan di sini hari
ini.
Sehingga kini, semua 138 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 128
pelajardan 10 ekspatriat yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia itu
berada dalamkeadaan selamat.
Kementerian sekali lagi menggesa semua rakyat Malaysia yang masih
berada di Syria agar pulang ke tanah air atau meninggalkan negara
berkenaan dengan segera, dan bagi mereka yang berhasrat melawat Syria,
dinasihatkan menangguhkan lawatan hingga situasi keselamatan kembali
pulih.
Kementerian sudah membuka Bilik Operasi dan orang awam boleh
menghubungi talian 03-88874570 untuk sebarang pertanyaan mengenai proses
pemindahan ini. - BERNAMA
Sumber : Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment